BOLA SEPAK
Final Piala AFC: Penyokong Kuala Lumpur City terkilan hilang aura stadium Cheras
Finalis Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City, sekali lagi mengharapkan tuah beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, seperti yang dikecapi ketika menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia di venue ikonik itu.
Perubahan venue final bagi pertemuan epik dengan kelab Oman, Al Seeb, pada 22 Oktober depan disebabkan beberapa faktor yang dihuraikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), semalam, tetapi ada juga segelitir penyokong Warga Kota yang berasakan keputusan itu tidak wajar.
Iklan
Selepas melalui fasa jatuh bangun bersama pasukan kesayangan mereka itu termasuk kembali ke saingan Liga Super pada 2018, Stadium KLFA di Cheras menjadi saksi kebangkitan luar biasa mereka.
Justeru, penyokong mempersoalkan mengapa Bukit Jalil menjadi pilihan sedangkan laman sebenar barisan kendalian Bojan Hodak itu di Cheras.
"Kami sangat kecewa apabila mengetahui final tidak dapat diadakan di Cheras.
"Sebelum ini perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC juga dimainkan di Cheras, malah final Piala AFC 2019 juga diadakan di Cheras.
"Tujuan kami mahu ia dilangsungkan di Cheras supaya orang tahu bahawa ini adalah laman Kuala Lumpur City, bukannya di Bukit Jalil.
"Padang dengan tempat duduk penyokong di sini dekat, jadi aura itu lagi terasa, keberadaan penyokong juga dirasai.
"Satu lagi (membabitkan) faktor padang sebab pemain sudah selesa dengan keadaan padang KLFA.
"Kelebihan sepatutnya di pihak Kuala Lumpur kerana pemain dan jurulatih lebih memahami keadaan di Cheras," kata penyokong juara bertahan Piala Malaysia itu, Ainul Hazeem Ainuddin.
Must-Watch Video