Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan Joel Matip untuk kembali beraksi bersama Liverpool susulan timbul masalah dengan skuad kebangsaan pemain itu, Cameroon, sebelum ini.
Wujud persoalan mengenai kelayakan pemain itu untuk beraksi kerana dia membuat keputusan untuk bersara dari arena antarabangsa dengan Persatuan Bola Sepak Cameroon (FECAFOOT) meminta Matip tidak dibenarkan mewakili Liverpool sehingga berakhirnya Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Senario itu menyebabkan Liverpool terpaksa mengetepikan pemain berusia 25 tahun itu dalam aksi berdepan Manchester United dan Plymouth sebelum ini.
Dia kini bebas beraksi buat Liverpool.
"Liverpool mengesahkan bahawa segala sekatan terhadap kelab ini dan Matip telah pun ditarik balik oleh FIFA," demikian kenyataan dimuat naik ke laman sesawang rasmi kelab itu.
"Liverpool telah meminta FIFA untuk menyediakan panduan terhadap kelayakan Matip susulan aduan yang telah dibuat FECAFOOT kepada FIFA.
"FIFA kini membenarkan Matip untuk beraksi bersama Liverpool."
Matip mengumumkan persaraan tahun lalu tetapi Cameroon tetap memasukkan namanya dalam senarai awal skuad negara itu bagi menghadapai AFCON 2017.
Tindakan itu mencetuskan kekeliruan, sekaligus menyebabkan FIFA mengambil masa bagi mencari jalan penyelesaian.