Skip to main content

Bola Sepak

FAM teliti beberapa calon jurulatih

yusoff-mahadi.jpg
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum lagi mahu mendedahkan sosok jurulatih baru skuad Harimau Malaya walaupun difahamkan sudah mempunyai pilihan utama untuk menggantikan Tan Cheng Hoe.

Menerusi pendedahan Nadi Arena, kelmarin, individu terbabit merupakan Ketua Jawatankuasa Penyelia Korea Selatan, Kim Pan Gon, yang juga merupakan bekas jurulatih Hong Kong.

Jurulatih berusia 52 tahun itu pernah bertemu dengan skuad kebangsaan ketika membimbing Hong Kong dalam kempen kelayakan Piala Asia pada 2017.




Calon lain yang difahamkan turut berada dalam senarai pendek FAM ialah bekas jurulatih skuad Sukan Olimpik Korea Selatan, Kim Hak Bum.

Apa pun, identiti jurulatih baru negara hanya akan diketahui selepas menyuarat jawatankuasa pengurusan skuad kebangsaan, hujung bulan ini. 

"Walaupun sudah ada beberapa jurulatih yang menawarkan khidmat mereka, presiden juga ada buat kerja untuk mengenal pasti jurulatih yang sesuai. 

"Saya jangkakan apabila satu jurulatih baru dilantik kelak, kami perlu beri ruang kepadanya untuk memilih barisan kejurulatihan.

"Kalau dia mahu (kekalkan penolong) jurulatih, S Balachandran, mungkin dia akan ambil. 

"Kalau dia memilih set baru, kami perlu beri ruang untuknya bagi memastikan dia boleh bekerja dengan lebih selesa," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.


Selain Balachandran, Azmin Azram dan Martin Stano juga memainkan peranan ketika pasukan negara dikemudi Cheng Hoe. 

Namun, tidak mustahil pengumuman mengenai calon jurulatih negara akan dibuat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam majlis pecah tanah ibu pejabat baru badan induk itu di Putrajaya, esok. 
 

Advertisement

Must Watch Video