Skip to main content

Bola Sepak

FAM serah kepada Kim Pan-gon nilai prestasi pasukan

noor-azman-rahman.jpg
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum melakukan 'post mortem' susulan kegagalan Harimau Malaya menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka baru-baru ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata badan induk itu menyerahkan sepenuhnya kepada pengendali pasukan negara, Kim Pan-gon, untuk melihat dan mengkaji kelemahan yang terdapat dalam skuad negara sebelum menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 bulan depan dan Piala Asia pada Januari depan.

"Belum ada lagi (post mortem). Itu kita serahkan kepada Pan-gon," katanya selepas sidang akhbar pelancaran program Road To Doha sempena Piala Asia 2023 semalam.

Dalam aksi Pestabola Merdeka, Harimau Malaya menundukkan India 4-2 dalam perlawanan pertama sebelum tumbang 0-2 di tangan Tajikistan dalam aksi final, sekali gus gagal mencapai sasaran Pan-gon untuk menjuarai kejohanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Dalam pada itu, Noor Azman turut mengesahkan Stadium Bukit Jalil akan tetap menjadi venue aksi Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2026 walaupun keadaan padang stadium itu dikritik kerana tercabut di beberapa bahagian dalam aksi Pestabola Merdeka.

Malah, timbul kebimbangan bahawa padang itu belum lagi bersedia untuk digunakan sepenuhnya dalam tempoh kurang sebulan sebelum aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini.

"Setakat hari ini (perlawanan akan diadakan di) Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi kami akan sentiasa memikirkan alternatif (sekiranya tidak dapat digunakan)," katanya.

Mengulas mengenai program Road to Doha itu, Noor Azman berkata ia membuka peluang kepada penyokong Harimau Malaya untuk terbang ke Qatar menyaksikan aksi Harimau Malaya dalam Piala Asia dengan beberapa pakej yang disediakan oleh MFast Resources Holding Sdn Bhad.

"Ia tercetus apabila penyokong menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk mencari kaedah terbaik untuk membawa penyokong ke Qatar dengan kos berpatutan termasuk harga tiket penerbangan.

"Beberapa perbincangan dilakukan oleh FAM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Malaysia Airlines telah menyaksikan program ini berjaya direalisasikan," katanya.

Harga pakej yang ditawarkan bermula serendah RM1,838 hingga RM13,500 merangkumi antaranya tiket penerbangan, tiket perlawanan dan penginapan yang akan mula dijual hari ini.

-- Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video