Skip to main content

Bola Sepak

FAM bidas kenyataan 'bala RM6.4 juta' PFAM

stuart.jpg
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membidas tindakan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mendedahkan beberapa pasukan tempatan mempunyai tunggakan gaji mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan PFAM menerusi ketua pegawai eksekutifnya, Izham Ismail, semalam, sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Izham tidak menjelaskan mengenai keadaan sebenar berkaitan isu tunggakan gaji bagi sesetengah pasukan yang disebut dalam kenyataan yang dibuat PFAM itu.

"Untuk makluman, tidak semua pasukan yang dinyatakan itu langsung tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan dan kenyataan secara umum dibuat itu sesuatu yang tidak profesional dan sudah tentu tidak menyelesaikan masalah.

"Malah, itu jelas bertentangan dengan segala usaha yang telah ditunjukkan oleh sesetengah pasukan itu dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan secara baik dengan pemain mereka mahupun menerusi PFAM sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Beberapa pasukan yang disebut nama mereka dalam kenyataan PFAM itu telah menghubungi saya untuk menyatakan kekesalan mereka terhadap tuduhan dan dakwaan tersebut," tambahnya.

Izham dalam kenyataan tersebut mendakwa Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung isu tunggakan gaji meskipun sebelum ini berjanji akan menyelesaikannya sebaik menerima geran hak penyiaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menurut Izham, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United, yang membuat perjanjian bagi membuat pembayaran secara berperingkat sebelum ini, turut melanggar janji tersebut.

Justeru, Stuart menjelaskan mengenai keadaan sebenar mengenai isu tunggakan gaji melibatkan pasukan Negeri Sembilan dan Pahang yang disebut PFAM.

"Tuduhan terhadap Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), rekod FAM mendapati bahawa PBNS tiada sebarang kes dengan FAM atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sementara Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak mempunyai sebarang kes dengan FAM. 

"Hanya satu kes yang dibawa ke FIFA, namun pembayaran tunggakan itu sudah diselesaikan PBNP. 

"Jika ada, ia mungkin sama ada tidak dilaporkan atau masih belum diputuskan keputusannya oleh FAM atau FIFA," katanya.

Pada masa sama, Stuart menjelaskan mengenai situasi yang dihadapi Melaka, PDRM dan Kelantan, yang turut terpalit dengan dakwaan itu.

"Bagi Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), hanya tiga kes tunggakan gaji yang masih belum selesai dan menanti keputusan, iaitu kes FAM membabitkan G. Puaneswaran serta dua kes FIFA membabitkan Tiago Gomes dan Lee Chang-hoon.

"PDRM pula memaklumkan mereka telah membayar tunggakan gaji pemain bagi tahun 2018, Februari lalu dan menerusi perbincangan bersama MFL, di mana mereka bersetuju menyelesaikan tunggakan berkenaan menerusi pemotongan geran tahunan pasukan," katanya.

Dalam pada itu, FAM mengingatkan PFAM supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan persepsi negatif.

"PFAM sepatutnya tidak membuat kenyataan secara umum atau menyeluruh seperti ini tanpa menawarkan sebarang jalan penyelesaian atau memberi keadilan kepada semua pemegang taruh dalam bola sepak Malaysia.

"Perspektif sempit daripada sudut pandang PFAM semata-mata tidak boleh dianggap sebagai cara untuk menyelesaikan masalah ini tetapi memerlukan kerjasama dengan kelab dan semua pemegang taruh bola sepak untuk menyelesaikannya," kata Stuart.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video