LIGA SUPER MSIA
Faisal Rosli, Nazrin terima panggilan sulung Harimau Malaya
Empat muka baru bakal dipanggil untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya ekoran kecederaan yang menimpa beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala AFC bertemu Ceres-Negros FC, kelmarin.
Antara pemain JDT yang dijangka terpaksa diketepikan adalah Aidil Zafuan Abdul Razak, S. Kunanlan, Azrif Nasrulhaq dan Fazly Mazlan.
Ketiadaan mereka akan diisi oleh dua muka baru, iaitu pemain pertahanan kiri Pahang, Mohd Faisal Rosli dan Nazrin Syamsul Bahari dari skuad PKNS FC.
Iklan
Dua lagi nama melengkapkan senarai 26 pemain adalah Nazirul Naim Che Hashim (Perak) dan pertahanan Pahang, Afif Amiruddin.
"Ini tidak bagus untuk pemain, pasukan kebangsaan dan JDT kerana pemain-pemain perlu berehat beberapa hari.
"Kalau seseorang pemain dilanda kecederaan dan tidak boleh diturunkan, kami akan membawa masuk pemain lain.
"Saya tidak akan meratapinya atau tidak nyenyak tidur," ujar jurulatih negara, Nelo Vingada.
Mengenai pelantikan ketua pasukan, Vingada berkemungkinan akan memberi peranan itu kepada Safiq Rahim selain dua lagi tonggak senior, Safee Sali dan Amri Yahyah.
Baginya, mereka bertiga merupakan orang lama dalam pasukan serta mempunyai kekuatan karakter tersendiri ketika beraksi di atas padang.
"Sudah tentu saya akan memilih pemain yang mempunyai karakter yang kuat dan menjadi orang perantaraan kepada saya di dalam padang.
"Saya mempunyai tiga calon, iaitu Safiq Rahim, Safee dan Amri."
Kredit imej: PKNS FC
Must-Watch Video