Skip to main content

Bola Sepak

Enrique sesuai kemudi skuad EPL, kata Vermaelen

luis-enrique.jpg
Pertahanan Barcelona, ​​Thomas Vermaelen, percaya bekas jurulatih kelab LaLiga itu, Luis Enrique, bakal mencipta kejayaan besar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Enrique, yang menganggur selepas meninggalkan Barca pada akhir musim lalu, telah dikaitkan dengan jawatan Antonio Conte yang berada di bawah tekanan di Chelsea.

Pengurus berusia 47 tahun berkenaan memenangi tiga gelaran Copa del Rey dan LaLiga sebanyak dua kali sepanjang menggalas tugas di Camp Nou serta memimpin Barcelona meraih gelaran Liga Juara-Juara pada 2015.

Vermaelen memainkan peranan kecil di bawah bimbingan Enrique, namun tetap memuji bos lamanya itu. 

"Saya fikir ia serupa dengan apa yang anda lihat dengan Pep Guardiola di Manchester City," kata pemain tengah itu kepada The Guardian.

"Anda menyuntik sedikit pengaruh Sepanyol ke dalam bola sepak Inggeris dan ia mungkin mengambil masa tetapi ia mampu berfungsi dengan baik.

"Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Luis Enrique, cara dia bercakap kepada pemain sangat baik, dia tahu bagaimana membuat pemain menjadi diri sendiri.

"Jika anda bertanya kepada saya mengenai pengurus terbaik yang pernah saya bekerjasama, saya akan sentiasa memasukkan namanya. Saya kini mendapat peluang bermain lebih kerap tetapi saya tidak akan mengatakan Luis Enrique seorang jurulatih yang teruk hanya kerana perkara itu."

Sebelum menyertai Barca, Vermaelen menghabiskan masa selama lima tahun di Arsenal dengan membantu kelab itu memenangi Piala FA pada 2014.

Pertahanan Belgium itu percaya Arsene Wenger kekal sebagai individu tepat untuk tugasan di Stadium Emirates meskipun The Gunners berada di tangga keenam Liga Perdana.

"Arsenal adalah sebuah kelab yang menarik, ramai peminat di England: mereka mempunyai stadium yang indah dan permainan yang menarik, " tambah Vermaelen.

"Saya pasti jika mereka tahu sebabnya, mereka akan melakukan sesuatu mengenainya, saya selalu berkata: 'Berhati-hati dengan apa yang anda inginkan.' Saya tidak tahu apa yang berlaku sekarang tetapi kelab itu masih mempunyai keupayaan untuk menjadi sebuah kelab yang mampu mencabar trofi.

"Memecat pengurus tidak semestinya penyelesaian terbaik, apa yang dilakukan oleh Wenger terhadap kelab itu sangat mengagumkan, saya fikir dia masih calon tepat untuk maju, dia mempunyai pengalaman dan dia adalah pemain kelab."
 

Advertisement

Must Watch Video