BOLA SEPAK
Enrique puji peranan Messi di bahagian tengah
Ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique, memuji peranan Lionel Messi dalam kemenangan suku akhir Cope del Rey ke atas Real Sociedad, awal pagi tadi.
Messi diletakkan di bahagian tengah ketika Barca menumpaskan pelawat 5-2 dalam pertemuan kedua untuk melengkapkan kemenangan 6-2 secara agregat.
Pemenang Anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu meledak satu gol dan mencipta dua bantuan gol untuk membantu jaguh Sepanyol itu layak ke separuh akhir.
"Messi boleh bermain di mana-mana posisi yang dihajatinya. Dalam beberapa perlawanan lalu, dia beraksi di bahagian tengah dan menjadi nadi buat kami," kata Enrique.
Iklan
"Apabila Leo mengawal bola, anda tahu anda perlu bergerak kerana hantaran pasti tiba."
Denis Suarez turut menyinar dalam aksi di Nou Camp itu dengan merakamkan dua jaringan selepas membuka akaun jaringannya bersama Barca, minggu lalu.
"Dia beraksi cemerlang," tambah Enrique.
""Salah satu sifat utamanya adalah keupayaannya untuk menembusi barisan kedua dan kehadirannya dalam kotak penalti."
Selepas mendahului 1-0 dalam pertemuan pertama, Suarez dan Arda Turan turut berada dalam senarai penjaring dalam perlawanan pagi tadi.
Di sebalik keputusan besar itu, Enrique menegaskan pasukannya masih perlu bekerja keras.
"Kami perlu beraksi dengan pantas apabila bertemu dengan tekanan dan pemain yang dimiliki mereka.
"Kami sedar ia bukan tugas mudah tapi kami perlu mengambil risiko dan kami mengatasi masalah yang dicetuskan mereka dengan baik. Bagaimanapun, mereka merumitkan perlawanan ini."
Meskipun Barca baru memastikan tempat dalam separuh akhir, Enrique sudah memasang angan-angan awal dalam perlawanan akhir.
"Saya impikan final Barca-Celta," ujarnya yang pernah mengemudi skuad yang berpangkalan di Balaidos itu selama semusim.
Must-Watch Video