Pengendali Barcelona, Luis Enrique, menyelar wartawan ekoran tidak konsisten dalam menyampaikan maklumat mengenai rekod disiplin Neymar di atas padang.
Pemain Brazil itu telah dilayangkan kad kuning sebanyak tiga kali dalam lima perlawanan sebelum ini dan akan terlepas aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol berdepan Atletico Madrid minggu depan.
Neymar, bagaimanapun, telah dikasari sebanyak tujuh kali dalam aksi separuh akhir pertama di Vicente Calderon di samping dicemuh penyokong tuan rumah.
Menjelang aksi LaLiga berdepan Athletic Bilbao pada Sabtu, timbul laporan mengatakan Neymar tidak menerima perlindungan daripada pengadil tatkala dia kini menjadi pemain yang paling banyak dikasari di atas padang walaupun dia juga sering menerima layangan kad kuning.
Enrique mendakwa dia terkejut dengan laporan itu kerana dia menyedari bahawa Neymar dan rakan sepasukan lain sebelum ini sering dikritik media.
Enrique berkata: "Pemain saya menerima terjahan dan kekasaran paling tinggi berbanding pasukan lain, itu fakta tetapi pada masa sama mereka juga banyak menerima layangan kad. Jadi kamu semua fikirlah sendiri. Kami hanya akan fokus dalam memperbaiki permainan hari demi hari.
"Setiap hari, ada saja pihak yang cuba menjalankan kempen sebegini bagi mengganggu keseimbangan pasukan. Pada mulanya kamu berkata kami banyak melakukan kekasaran dan kemudian berkata pemain saya tidak dilayan dengan adil.
"Saya hanya akan memuji mereka kerana ada masanya terpaksa beraksi dalam keadaan di mana mereka perlu kekal tenang.
"Saya enggan lagi membicarakan topik ini (pengadilan) kerana isu ini adalah di luar kawalan kami."