LIGUE 1
Emery puji ketenangan pemain
Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, memuji ketenangan pasukannya selepas kelab gergasi Perancis itu bangkit daripada ketinggalan sebelum menumbangkan juara Ligue 1, AS Monaco, 2-1 dalam Trophee des Champions, awal pagi tadi.
PSG ketinggalan menuju masa rehat hasil jaringan Djibril Sidibe sebelum bangkit dalam babak kedua menerusi gol Dani Alves dan Adrien Rabiot untuk meraih kejuaraan Trophee des Champions buat kali kelima berturut-turut.
Bercakap dalam sesi sidang media, Emery berkata: "Kita dapat melihat dua pasukan yang hebat, masing-masing berbeza daripada satu sama lain, namun kedua-duanya memiliki skuad yang berbakat di atas padang.
Iklan
"Kami mengawal permainan walaupun mereka mengancam kubu pertahanan kami ketika serangan balas.
"Pemain saya berjaya mengekalkan ketenangan, itu yang paling penting."
Pemain tengah, Marco Veratti, menambah: "Permulaan kami agak hambar. Kami terkesan dengan corak serangan balas mereka tetapi kami cuba mengekalkan corak permainan kami.
"Gol Dani Alves memberikan kami keyakinan dan daripada situ, kami mula mengawal perlawanan. Kami mencipta banyak peluang, jadi kami layak menang."
Sementara itu, Pengerusi PSG, Nasser Al-Khelaifi, berkata:"Saya berbangga dengan satu pasukan. Ini perlawanan yang penting dan kami berjaya meraih trofi Trophee des Champions buat kali ketujuh dalam sejarah kelab ini.
"Dani Alves berjaya mempamerkan bakatnya, saya sangat bangga dengan persembahannya."
Must-Watch Video