Skip to main content

Bola Sepak

Elavarasan akui PKNS berdepan masalah di bahagian tengah

elavarasan.jpg
Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, tidak berasa cemas biarpun masih belum dapat membariskan kesemua pemain importnya dalam perlawanan persahabatan setakat ini.
 
Dalam aksi persahabatan ketujuh berdepan Kedah semalam, Elavarasan hanya dapat menurunkan tiga daripada empat pemain import dalam kesebelasan utama.
 
Namun, kelibat Patrick Ronaldinho dan Gonzalo Soto hanya sempat bertahan pada babak pertama sementara Matias Hadwa tidak diturunkan.
 
Bagi Elavarasan, perkara itu tidak menjadi kerisauan utama kerana yakin mereka akan berada di tahap terbaik sebelum sepak mula, 21 Januari nanti.
 
"Kami tidak menghadapi sebarang masalah, Ronaldinho telah beraksi bersama kami pada 2015, Matias dan Gonzalo sudah bersama kami sejak musim lalu. Cuma bahagian tengah kami perlu dipertingkatkan lagi," katanya.
 
Diminta mengulas mengenai prestasi pasukan selepas tujuh perlawanan persahabatan, Elavarasan mengakui masih terdapat kelemahan ketara di bahagian tengah.
 
Dia berharap pengganti Gabriel Guerra, iaitu Lucas Espindola, mampu cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan sepasukan.
 
"PKNS telah banyak menguji pemain baru untuk menyesuaikan dengan rentak permainan pasukan. Setakat ini, kami masih belum mendapatkan keserasian dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum musim 2017 bermula," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video