Skip to main content

Bola Sepak

Durakovic kesal ketumpulan The Bos Gaurus

perak-vs-pkns.jpg
Ketumpulan penyudah menyaksikan Perak dan PKNS FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Ipoh, malam tadi. 

Turun sebagai tuan rumah, The Bos Gaurus mengharapkan kelebihan itu sebagai sandaran utama sebelum aksi timbal balik di tempat lawan, Ahad depan.

Permainan seimbang dipamerkan sejak wisel permulaan, namun pelawat terlebih dahulu mempunyai peluang.

Percubaan bekas pemain Perak, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, menerusi sepakan percuma pada minit kedua sedikit tersasar.

Tuan rumah mula memperkemas rentak permainan selepas itu dengan percubaan Brendan Gan pada minit ke-20 melewati palang gol lawan. 

Biarpun kedua-dua pasukan cuba meningkatkan tempo permainan, kedudukan tanpa jaringan kekal menuju ke bilik persalinan.

Perak tampil dengan corak lebih agresif selepas itu dan Wander Luiz hampir memperoleh jaringan pada minit ke-54 tetapi tandukannya diselamatkan Muhammad Zarif Irfan, disusuli percubaan seorang lagi tonggak import tuan rumah, Gilmar Da Silva, namun tidak menepati sasaran.

Di sebalik asakan demi asakan yang cuba dijelmakan Perak, namun jaringan yang diburu tidak kunjung tiba sehingga wisel penamat.

"Kami telah melakukan segala yang terdaya kecuali menyumbat gol dari awal sehingga habis (permainan).

"Kami mengawal permainan, kami mempunyai banyak peluang, malangnya bola tidak mahu (ke gawang lawan). 

"Inilah bola sepak dan kami perlu bangkit. 

"Kami akan menjalani proses pemulihan esok (hari ini) sebelum mengadakan beberapa sesi latihan yang bagus. 

"Kami akan ke Shah Alam mendapatkan keputusan (yang memberangsangkan)," kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, tetap berpuas hati dengan hasil di Ipoh apabila berkata: "Ini satu perlawanan yang boleh dikatakan membabitkan aksi fizikal. 

"Bukan senang untuk datang ke Ipoh bertemu Perak. 

"Kami bermula tanpa dua pemain import, Faris Ramli dan Bruno Matos, akibat kecederaan."

Advertisement

Must Watch Video