Skip to main content

Bola Sepak

Dua penyerang Brazil rebut slot import terakhir Sarawak

dua-penyerang-brazil-rebut-slot-import-terakhir-sarawak.png
Tumpas 1-0 kepada Sabah dalam aksi persahabatan bukanlah gambaran sebenar prestasi Sarawak.

Pengendalinya, David Usop, berkata perlawanan tersebut sebaliknya merupakan medan ujian untuk melihat beberapa pemain import yang bakal mengisi dua kekosongan sebelum aksi Liga Super bermula 21 Januari ini.

Pada separuh masa pertama, kata David, beliau mencuba gandingan dua pemain pertahanan dan dua pemain serangan import.

"Namun, persembahan mereka agak kurang menyerlah. 

"Permainan sebenar hanya berlangsung pada 45 minit kedua bagi mengenal pasti pemain yang boleh dibentuk sebagai pasukan utama.

"Malah, dua pemain Brazil yang diuji, iaitu Bruno Baiano di bahagian serangan dan Danilo Rafael Dos Santos di posisi pertahanan tengah menunjukkan prestasi yang dikehendaki," ujarnya. 

Baiano merupakan pemain penyerang yang pernah beraksi dalam Liga Laos manakala Rafael pernah beraksi untuk Kedah dan bermain dalam Liga Bangladesh.

Kata David, Rafael mungkin calon paling berwibawa untuk mengisi posisi yang ditinggalkan Teah Dennis, namun beliau masih menunggu seorang lagi pemain dari Brazil untuk diuji sebelum memuktamadkan senarai akhir pemain penyerang.

"Kami mencari pemain yang memiliki sentuhan akhir memukau ... satu-satunya kekurangan yang ada ketika ini."

Mengulas perlawanan tersebut, David mengakui pasukan Sabah tampak lebih bersedia dan berjaya membentuk persefahaman dalam kalangan pemainnya.

"Anak-anak buah Steve Vilmiaire itu jelas bermain dengan teratur dan mengatur serangan dengan begitu sistematik.

"Ia berbeza dengan pasukan kami yang masih lagi dalam proses pembentukan pasukan," jelasnya lagi.

Mengulas prestasi pemain, David mengakui tidak menurunkan ramai pemain senior kerana bimbang mereka akan berhadapan dengan kecederaan.

"Saya menggunakan peluang ini untuk menyaksikan kemampuan pemain-pemain muda beraksi dalam perlawanan kompetitif."

Mengenai dua pemain import yang telah ditandatangani, David mengakui prestasi pemain import dari Filipina, Mark Hartmann, pada malam tersebut agak hambar.

"Kurang berprestasi. Saya agak kecewa Mark bermain di bawah kemampuannya, tidak seperti mana ketika beliau bermain dengan Geylang F.C.

"Justeru, saya berharap dia akan dapat meningkatkan prestasi sebelum aksi pertama kurang dua minggu lagi."

Bagaimanapun, David berpuas hati dengan corak permainan Lee Jong-Ho yang kini beraksi di bahagian tengah. Dia dilihat mampu membantu memperkemas jentera pertahanan selain merancang serangan.

Sarawak tumpas hasil jaringan tunggal dan menarik pemain pertahanan Sabah, Rawilson Batuil.

Advertisement

Must Watch Video