Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Dua gol Favilli benam juara Jerman

favilli.jpg
JUVENTUS 2 BAYERN MUNICH 0

Andrea Favilli memperkenalkan dirinya dengan melakar dua gol ketika Juventus membenam Bayern Munich 2-0 dalam aksi pembukaan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Amerika Syarikat, sebentar tadi. 


Joao Cancelo, Mattia Perin dan Emre Can membuat kemunculan sulung bersama Juve di Philadelphia, namun Andrea Favilli mencuri tumpuan utama pertemuan itu.

Dipancing dari Ascoli, Favilli memecah kebuntuan pada minit ke-32 selepas Sven Ulreich gagal menangani hantaran lemah ke belakang oleh Josip Stanisic di Lincoln Financial.

Pemain berusia 21 tahun itu kemudian menggandakan kedudukan dengan bergaya lapan minit kemudian untuk memberikan Niko Kovac kekalahan pertama sebagai pengurus Bayern sejak dilantik bagi menggantikan Jupp Heynckes.

Tiada Cristiano Ronaldo susulan perpindahan sensasinya dari Real Madrid tetapi Juve masih menurunkan barisan terkuat termasuk Perin, Can, Cancelo, Giorgio Chiellini, Daniele Rugani, Claudio Marchisio, Miralem Pjanic, Alex Sandro dan Federico Bernardeschi.

Bayern -- yang mengalahkan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 dalam aksi pembukaan ICC -- mempertaruhkan Franck Ribery, Javi Martinez, Juan Barnat dan Serge Gnabry sambil Arjen Robben, David Alaba, Kingsley Coman dan Renato Sanches diletakkan di bangku simpanan.

Dalam perkembangan lain, ejen kepada Daniele Rugani, Davide Torchia, mengesahkan Chelsea berminat untuk mengikat pertahanan tengah Juventus itu.

Rugani dikaitkan dengan Chelsea selepas bekas pengurus Napoli, Maurizio Sarri, dilantik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagi menggantikan Antonio Conte.

Pertahanan Itali berusia 23 tahun itu pernah bekerjasama dengan Sarri ketika dipinjamkan di Empoli.

Torchia mengakui didekati Chelsea sambil menegaskan Rugani gembira dengan juara bertahan Serie A itu. 

"Wujud minat daripada Chelsea untuk mendapatkan Rugani," kata Torchia kepada Radio Sportiva.

"Selain yuran, ada persoalan teknikal, baik pemain itu sendiri mahupun Juventus tidak pernah mengatakan mereka mahu membuat penjualan. 

"Rundingan dengan Chelsea tiada hubung kait dengan kesepakatan (Gonzalo) Higuain, masing-masing mempunyai kos dan dinamik yang berbeza.

"Kedua-dua pemain boleh membawa keuntungan yang berbeza. Rugani tenang dan gembira, dia berada di kem latihan pra-musim dan dia memberi tumpuan kepada Juventus."

Advertisement

Must Watch Video