Skip to main content

Bola Sepak

Dembele kecewa tindakan pecat Tuchel

dembele-080617.jpg
Ousmane Dembele meluahkan kekecewaannya terhadap pemergian Thomas Tuchel dari Borussia Dortmund.

Dembele yang dibawa masuk ke Dortmund oleh Tuchel pada Julai lalu dari Stade Rennais, berkembang di bawah asuhan pengurus berusia 43 tahun itu dengan merakamkan 10 gol dalam kempen sulungnya di dalam Bundesliga. 

Namun, kerjasama di antara jurulatih dengan kelab itu selama dua musim berakhir bulan lalu apabila Tuchel dipecat dan digantikan oleh Peter Bosz. 

"Saya kecewa kerana dia merupakan jurulatih yang sangat mempercayai saya," kata pemain Perancis itu kepada Sky Sports Deutschland.

"Dia sentiasa berada di samping saya dan banyak membantu saya. 

"Dia seorang pengendali yang sangat bagus di mana saya menikmati tempoh yang hebat. Tetapi, itulah boleh sepak, pihak pengurusan telah membuat keputusan ini."

Hubungan Tuchel dengan pihak pengurusan dikhabarkan bertukar keruh susulan penjadualan semula perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara dengan Monaco, di mana ia dibuat kurang daripada 24 jam selepas bas pasukan itu dilempar bom. 

Jurulatih itu melahirkan perasaan tidak senang dengan situasi itu -- lalu menerbitkan rasa jengkel Ketua Pegawai Eksekutif, Hans-Joachim Watzke -- dan Dembele mendakwa pemain-pemain lebih menyokong tindakan Tuchel. 

"Suasana dalam bas sangat menakutkan," tambahnya. 

"Suasana pagi itu seperti bencana dan kami perlu beraksi. 

"Itu bukanlah dalam fikiran kami. Tiada siapa yang boleh beraksi dalam perlawanan itu. Perlawanan itu dijadualkan semula dan tiada siapa antara kami yang bersedia untuk beraksi. 

"Hampir seluruh pemain enggan beraksi. Tetapi, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Kami dipaksa untuk beraksi. Jurulatih berada di pihak kami, dia juga tidak memikirkan perlawanan itu. 

"Kami bersatu dalam hal itu."

Advertisement

Must Watch Video