Kehadiran saat-saat akhir bekas penyerang PDRM dan Selangor, Guiherme de Paula, bersama Kuala Lumpur memberi kelegaan kepada jurulatihnya, Wanderley Junior, setelah pemain itu membantu pasukan berada di tangga teratas Liga Perdana selepas dua perlawanan.
Kuala Lumpur sebelum ini sudah menandatangani khidmat penyerang dari Argentina, Chamorro Chakki, namun digugurkan ekoran prestasi tidak memuaskan dalam aksi persahabatan.
De Paula hanya tiba dua hari sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, namun risiko yang diambil oleh Wanderley nyata berbaloi.
Penyerang berusia 30 tahun itu muncul wira Kuala Lumpur ketika menang 2-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Khamis lalu.
"Kami semua tahu kualiti dimiliki pemain itu, dia datang untuk membantu kami. Dia juga mudah serasi dengan corak permainan kami dalam saingan liga.
"Kami berharap dia mampu mengekalkan prestasinya sehingga dia berada di tahap yang lebih baik," ujar Wanderley.
Bagi De Paula, fokusnya kini adalah mahu kembali mencapai tahap kecergasan terbaik selepas dua kali bertindak selaku pemain gantian.
Dia mahu membantu Kuala Lumpur layak ke Liga Super musim depan di samping memburu anugerah penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini.
"Saya sangat gembira, kami mahu ke Liga Super musim depan. Jadi, musim ini saya akan berikan yang terbaik untuk membantu pasukan ini di samping cuba menamatkan musim selaku penjaring terbanyak," jelasnya.