Skip to main content

Bola Sepak

David kesal anak buah gagal pertahan 45 minit terakhir

050816-david-usop.jpg
Kecewa lagi. Itu yang dialami oleh David Usop biarpun berjaya mencuri satu mata selepas terikat 3-3 dalam aksi penting Liga Super menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.
 
“Saya kecewa kerana sepanjang 45 minit perlawanan, kami berjaya bangkit daripada ketinggalan satu gol kepada 3-1.
 
“Namun, selama 45 minit berikutnya, pemain bagaikan hilang rentak, dan terpaksa bergelut daripada pulang dengan kehampaan,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sarawak ketinggalan 1-0 pada minit ke-19 menerusi jaringan Gilberto Filho.
 
Sarawak kemudian bangkit apabila Tommy Mawat Bada menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-23 sebelum berada di hadapan hasil jaringan Nur Shamie Iszuan pada minit ke-39.
 
Penyarang import, Gilmar Jose, meledakkan gol pada minit ke-44 untuk Sarawak melebarkan defisit gol.
 
Bagaimanapun, babak kedua menyaksikan anak-anak buah Irfan Bakti bangkit bagi menggagalkan misi tiga mata Sarawak menerusi jaringan pada minit ke-52 oleh Zah Rahan Krangar dan Lutfulla Turaev pada minit ke-89.
 
Menurut David, berada di tangga kelapan, pasukan pimpinannya masih belum berada dalam keadaan selamat.
 
“Kedudukan kami masih belum terjamin kerana kedudukan mata yang begitu rapat dalam kalangan pasukan terbawah,” katanya.
 
Sarawak kini berkongsi 21 mata dengan PDRM, diikuti oleh Pahang 20 mata dan Pulau Pinang serta Terengganu 19 mata.

“Dengan situasi rapuh yang membolehkan kami jatuh ke Liga Perdana pada musim depan, kami tidak ada pilihan lain dalam aksi terakhir menentang PDRM, 22 Oktober depan.
 
“Biarpun boleh bernafas lega jika memperoleh keputusan seri, namun bermain di gelanggang sendiri untuk aksi penutup tirai, kami perlu menghadiahkan peminat dengan tiga mata penuh.
 
Sehubungan itu, kata David lagi, beliau akan menggunakan sepenuhnya masa yang berbaki untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan penting itu.
 
“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mimpi ngeri malam ini berulang. Benar, bola itu bulat…tetapi kami sebenarnya masih menggenggam tiga mata sehingga seminit yang terakhir,” katanya.
 
Ia merupakan keputusan seri ketiga berturut-turut buat pasukan Ngap Sayot dalam lima perlawanan terakhirnya.

Advertisement

Must Watch Video