Bekas penjaga gawang Liverpool dan Manchester City, David James, beranggapan sentuhan pemusnah daripada Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi menjadi pemisah di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu dalam perebutan Piala FA, kelmarin.

Walaupun Harimau Selatan mendominasi sebahagian besar perlawanan, tapi titik tolak sebenar perlawanan terletak kepada soal menyudahkan peluang terhidang.

Pujiannya terarah kepada dua peledak itu untuk menjulang kemenangan 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Kemahiran tingginya (Arif Aiman) membolehkannya membuat gerakan sedemikian, apa yang boleh dilakukan oleh penjaga gol?

"Pertahanan yang cuba mengekang Arif Aiman itu sepatutnya lebih cepat bertindak menutup ruang pemain sayap tersebut tapi jaraknya membuatkannya terlajak berlari.

"Sebaik Arif Aiman di posisi itu maka dia hanya perlu merembat. Jarak satu meter di antara pertahanan itu dengannya sudah cukup untuk dimanfaatkan," katanya dalam program Bola Itu Lifem, semalam.

James mendedahkan bahawa dia sempat membuat kerja rumah bagi menikmati sesebuah perlawanan yang ditontonnya.






"Mereka pernah berentap dua kali sebelum perlawanan akhir ini yang memihak 2-1 kepada JDT.

"Bergson menyumbat tiga daripada empat gol yang terhasil dalam kedua-dua pertemuan itu. Dia dalam prestasi terbaik malah mewarnakan rambutnya kepada biru.

"Saya lebih cenderung pasukan 'underdog' tapi sebaik sepak mula, JDT adalah pasukan lebih baik -- banyak tekanan diberikan mereka.

"Tapi saya mempersoalkan sepakan penalti yang diberikan pengadil.

"Tanpa banyak penguasaan di bahagian tengah maka tidak banyak percubaan tepat boleh terhasil.

"Jadi saya ada terlintas untuk bertukar pasukan tapi tidak, saya adalah seorang yang setia," katanya lagi.

Sekali lagi James menjelaskan walaupun keadaan boleh mempengaruhi tempo perlawanan, tapi mana-mana pasukan yang lebih cekap menghidu peluang pasti beroleh lebih untung.




"Tidak banyak percubaan tepat, perlawanan ini boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat. Lagipun keadaan padang tidak begitu bagus, mungkin disebabkan hujan lebat sehari sebelum itu yang boleh menjejaskan mutu persembahan mereka.

"Tetapi apabila detik sebenar perlawanan hadir, di sinilah pemain (tertentu) akan menonjol.

"Saya sering membeli jersi apabila sampai ke stadium berbeza. Ketika saya di KL saya terlihat logo Terengganu di belakang sebuah kereta dan ia nampak menarik.

"Logo JDT pula adalah harimau tapi saya sukakan kucing. Kebetulan pula di stadium saya duduk berdekatan penyokong Terengganu," " katanya.