Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Croatia dalam misi ulangi pencapaian edisi 1998

ivan-rakitic.jpg
RUSSIA 2 CROATIA 2
(Croatia mara ke separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti 4-3)

Croatia mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah dengan Ivan Rakitic bertindak sebagai wira dalam penentuan sepakan penalti ketika mengatasi Russia 4-3, awal pagi tadi.


Selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Denmark dalam pusingan 16, Rakitic tenang untuk menyempurnakan jaringan, dengan Mario Fernandes merupakan wira bertukar dalang apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas tandukannya pada pada minit ke-115 menjadikan kedudukan 2-2 dalam masa tambahan.

Selepas menamatkan perjalanan tuan rumah yang menakjubkan ini, skuad kendalian Zlatko Dalic itu akan melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding edisi 1998, apabila mengakhiri saingan di tempat ketiga, ketika bertemu England di Stadium Luzhniki pada Rabu ini.

Denis Cheryshev memberikan Russia permulaan baik apabila kembali ke dalam kesebelasan utama selepas cemerlang ketika bertemu Arab Saudi dan Mesir di peringkat kumpulan tetapi Andrej Kramaric menyamakan kedudukan lapan minit kemudian.

Domagoj Vida menanduk masuk hantaran Luka Modric daripada sepakan sudut pada minit ke-10 masa tambahan sebelum Fernandes, pertahanan kelahiran Brazil yang diberikan warganegara Russia oleh Presiden Vladimir Putin dua tahun lalu, menghidupkan peluang Russia.

Bagaimanapun, nasib tidak menyelebelahi tuan rumah, dengan penjaga gol, Danijel Subasic, menafikan sepakan Fedor Smolov sebelum sepakan Fernandes tersasar manakala Rakitic tenang membawa Croatia mara ke separuh akhir.

Croatia tersentak dengan permulaan positif Russia yang memberikan tumpuan kepada serangan balas tetapi Ivan Perisic melakukan tandukan untuk menyamakan kedudukan, namun usahanya sekadar tersasar.

Russia menghukum lawan apabila Cheryshev bertindak daripada sayap kiri, melakukan hantaran satu-dua dengan Artem Dzyuba, melepasi Modric untuk melepaskan rembatan yang menewaskan Subasic pada minit ke-31.

Skuad bimbingan Cherchesov itu gagal bertahan hingga separuh masa, dengan Mario Mandzukic cuba menembusi pertahanan lawan sebelum mencari Kramaric dalam kawasan terbuka untuk mendiamkan seluruh penyokong tuan rumah di Sochi.

Croatia mendahului selepas perlawanan berlangsung selama satu jam tetapi percubaan Perisic dinafikan Igor Akinfeev.

Subasic mengalami kecederaan hamstring selepas usahanya untuk mengeluarkan hantaran silang Aleksandr Erokhin tetapi dia kembali pulih dan menampan keluar percubaan Smolov dalam masa kecederaan.

Kecederaan Sime Vrsaljko memaksa Croatia membawa masuk Vedran Corluka sebagai pemain gantian keempat walaupun Croatia meraikan jaringan Vida.

Bagaimanapun, Russia bangkit menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki lima minit apabila Fernandes menyambar hantaran Alan Dzagoev menerusi sepakan percuma untuk membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Sepakan 'panenka' Smolov berjaya dibaca oleh Subasic sambil Akinfeev turut bertindak cemerlang menafikan Matteo Kovacic dalam giliran sepakan kedua.

Selepas Fernandes gagal, Modric bertuah apabila sepakannya masuk ke gawang ketika Akinfeev telah berjaya membaca gerakan sepakannya.

Penentuan sekali lagi terletak di tangan Rakitic tetapi keyakinannya memastikan dia membawa Croatia kembali ke separuh akhir Piala Dunia.
 

Advertisement

Must Watch Video