Skip to main content

Bola Sepak

Conte tolak spekulasi ke PSG

conte.jpg
Antonio Conte mengesahkan komitmennya bersama Chelsea dan menafikan berhubung dengan Paris Saint-Germain (PSG) mengenai prospek berpindah ke juara Ligue 1 itu.

Semalam, Unai Emery dan PSG mengesahkan bahawa pengurus Sepanyol itu akan angkat kaki pada akhir musim ini walaupun hanya perlu menumpaskan Les Herbiers dalam final Coupe de France untuk merakamkan tiga kejuaraan domestik.

Kegagalan di Eropah menjadi punca tempoh Emery di Paris menjadi singkat sesudah pengurus itu memenangi tiga gelaran Liga Europa berturut-turut ketika mengurus Sevilla.

Conte dilaporkan dalam kalangan pilihan untuk mengambil alih tugasan di Parc des Princes, begitupun bekas jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, dijangka akan diberikan peranan itu.

Pengurus dari Itali itu, yang memenangi Liga Perdana dalam musim pertamanya, telah membawa Chelsea ke final Piala FA tahun lalu, merancang untuk kekal di Stamford Bridge.

"Tidak, jawapan saya selalu sama," kata Conte kepada pemberita ketika ditanya sama ada wujud perbincangan dengan PSG.

"Saya komited bersama kelab ini, saya terikat dengan kontrak, niat saya adalah untuk terus bekerja dengan kelab ini," tegasnya.

Spekulasi mengenai masa depan Conte semakin meningkat sepanjang musim ini berikutan menduduki tangga kelima Liga Perdana dan mungkin kehilangan tiket Liga Juara-Juara. 

Chelsea akan berkunjung ke Swansea City yang diancam penyingkiran tengah malam ini, dengan perlawanan akhir Piala FA bertemu Manchester United akan berlangsung hujung bulan depan. 
 

Advertisement

Must Watch Video