SERIE A
Conte terkilan Kvaratskhelia tidak setia
Antonio Conte mendedahkan Khvicha Kvaratskhelia sendiri telah memohon untuk meninggalkan Napoli dengan Paris Saint-Germain (PSG) sedang menyiapkan perjanjian untuk menandatangani pemain antarabangsa Georgia itu.
Kvaratskhelia beraksi cemerlang sejak tiba dari Dinamo Batumi pada 2022 dengan membantu Napoli memenangi Scudetto pertama mereka sejak era Diego Maradona pada musim pertamanya di Itali.
Pemain sayap itu menjaringkan 12 gol dan mencipta 10 bantuan jaringan ketika Partenopei menjulang gelaran Serie A pada 2022-23, namun mengharungi kempen 2023-24 yang menyedihkan yang menyaksikan tiga pengurus dilantik bersilih ganti untuk menamatkan saingan di tempat ke-10.
Iklan
Kvaratskhelia telah terlibat dalam lapan penghasilan jaringan dalam Serie A musim ini (lima gol, tiga bantuan jaringan ) sambil Napoli kembali dalam perebutan gelaran di bawah kendalian Conte.
Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu terus dikaitkan dengan perpindahan dengan laporan mencadangkan dia telah bersetuju dengan syarat peribadi yang ditawarkan juara Ligue 1 berkenaan.
Berikutan merehatkan Kvaratskhelia untuk pertembungan dengan Verona hujung minggu lalu, Conte ditanya mengenai masa depan pemain sayap itu dalam sidang media praperlawanan semalam.
"Saya akan jawab, saya tidak pernah lari daripada soalan yang tidak selesa. Jika saya bercakap, itu kerana saya bercakap benar, jika tidak saya lebih gemar berdiam diri. Saya tidak suka bercakap bohong," katanya.
"Kami bercakap mengenai tonggak utama. Musim panas ini, saya menuntut khidmat beberapa pemain agar disahkan dan antaranya ialah Khvicha.
"Dia telah meminta untuk dijual dan bukan dia seorang sahaja. Kemudian kami terus memandang ke depan tetapi anda terlalu mudah melupakan sesuatu.
"Enam bulan lalu, saya terpaksa meyakinkan pemain yang saya anggap asas untuk projek ini supaya kekal, sebaliknya ramai yang mahu mengambil jalan lain."
Must-Watch Video