Skip to main content

Bola Sepak

Colombia tunggu Rodriguez cergas

james.jpg
Colombia akan memberi tempoh kepada James Rodriguez sehingga minit terakhir bagi membuktikan kecergasannya menjelang aksi Piala Dunia 2018 dengan England dalam puisngan 16, awal pagi esok. 

Pemain tengah menyerang berkenaan -- dipinjamkan ke Bayern Munich dari Real Madrid selama dua musim -- dikeluarkan dalam kemenangan 1-0 Colombia ke atas Senegal, Khamis lalu, sehingga mengundang kekhuatiran bahawa kempennya mungkin telah berakhir.

Begitupun, Persatuan Bolasepak Colombia mendedahkan perkembangan positif dengan mengatakan pemain berusia 26 tahun itu hanya mengalami 'edema kecil (bengkak yang disebabkan oleh pengumpulan cecair) di kaki kanannya' dan ketua jurulatih, Jose Pekerman, menolak untuk mengetepikannya menjelang aksi di Stadium Spartak nanti. 

Beliau berkata: "Kami mendapat berita gembira selepas ujian perubatannya. Selepas ujian imbasan dijalankan, kami dimaklumkan dia tidak mengalami kecederaan serius, jadi kami mempunyai satu setengah hari lagi untuk memantau perkembangannya dan kami sentiasa mengharapkan dia dapat diturunkan."

James tidak mengambil bahagian dalam sesi latihan pasukan semalam -- sebaliknya melakukan latihan berasingan di tepi padang -- namun Pekerman menegaskan Colombia tidak hanya bergantung kepada pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2014 itu dan kapten, Radamel Falcao.

"Kedua-duanya sangat penting untuk kami tetapi ketika mereka tidak dapat beraksi, kami masih dapat melakukan dengan baik," tambahnya.

"Kami telah diklasifikasikan sebagai salah satu daripada 10 pasukan terbaik di dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meskipun ketika ini kami agak jauh ketinggalan. 

"Menduduki ranking itu selama bertahun-tahun membuktikan pasukan ini cukup stabil biarpun tanpa kedua-dua tonggak utama itu.

"Ini membuktikan perebutan tempat dalam kalangan pasukan sangat kompetitif dan kekuatan kami bukan setakat dua pemain ini sahaja," tambahnya.

Dengan mengesahkan kelayakan, mereka berpotensi berdepan England yang merehatkan lapan pemain sempena perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Belgium.

Ia 'kemewahan' yang tidak dimiliki Pekerman sungguhpun pengurus berusia 68 tahun itu percaya ia mungkin langkah positif buat pasukannya.

Beliau berkata: "Sebuah pasukan yang merehatkan pemain mempunyai kelebihan tertentu. Memang benar ada banyak perlawanan dalam Piala Dunia dan tidak banyak hari untuk pulih, jadi ini jelas satu kelebihan.

"Sebaliknya, ini memberikan kami peluang yang penting kerana kami telah menempuhi laluan yang sangat sukar sehingga kini, perlawanan getir sebegini menjadikan kami lebih kuat.

"Kami percaya pada diri sendiri dan kami menyedari kami sangat mantap. Kami sangat yakin, jadi ini akan memberi pulangan jika pasukan lain dapat berehat lebih lama sungguhpun mereka menjadi pilihan dengan pemain yang baik."

Jelas sekali ancaman England akan hadir menerusi Harry Kane. Lantaran itu, Pekerman merupakan peminat kepada penyerang Tottenham tersebut. 

"Harry merupakan pemain yang hebat, dia seorang pencetak gol berbisa dan dia bermain dengan baik," katanya.

"Dia adalah salah seorang penyerang terbaik di dunia, jadi kami perlu berhati-hati dengannya. Kami perlu mengelak daripada memberi peluang kepadanya kerana apabila anda mempunyai penggempur sepertinya, dia sangat sukar untuk dikekang."

Falcao akan mengetuai barisan Colombia tetapi menolak cadangan bahawa dia ingin membuktikan sesuatu kepada peminat Inggeris susulan karier mengecewakan di Manchester United dan Chelsea.

"Memang benar saya tidak menyinar di England tetapi itu sebahagian daripada masa lalu," kata penyerang itu.

"Kini, kami akan menempuh perlawanan pusingan 16 berdepan sebuah pasukan yang luar biasa, kami berada di kedudukan yang baik dan kami perlu teruskan apa yang kami lakukan sehingga sekarang, langkah demi langkah."
 

Advertisement

Must Watch Video