Otot James Rodriguez tidak terkoyak, sebaliknya betisnya hanya mengalami bengkak, kata Persekutuan Bolasepak Colombia (FCF).
Pemain tengah itu dikeluarkan pada pertengahan perlawanan ketika mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Senegal untuk menempah pertemuan dengan England dalam pusingan 16 Piala Dunia 2018.
Sehubungan itu, bintang Bayern Munich tersebut masih dalam keraguan menjelang aksi di Moscow, Selasa nanti.
Dalam satu kenyataan, Colombia mengesahkan bahawa James telah menjalani ujian imbasan terhadap kecederaan itu.
"Keputusannya (imbasan) menunjukkan bahawa dia mempunyai bengkak kecil tanpa koyakan di sebelah kanan (betis)," kata FCF.
James merupakan pemenang Anugerah Kasut Emas di Brazil 2014 yang menyaksikan Colombia mencapai peringkat suku akhir.
Colombia akan menjalani sesi latihan tertutup hari ini.