Manchester City merupakan kelab yang jarang sekali tersilap percaturan dalam hal-ehwal pembelian atau penjualan pemain.
Dalam pembelian Erling Haaland, misalnya, mereka dengan sabar menunggu waktu yang tepat untuk membawa penyerang berusia 23 tahun itu ke Manchester walaupun perpindahan boleh dilakukan sekurang-kurangnya setahun lebih awal.
Ini kerana mereka mempertimbangkan aspek kematangan mental Haaland dan enggan meletakkan tekanan terlalu besar terhadapnya selagi dia belum bersedia sepenuhnya.
Kesabaran itu dibalas dengan ledakan gol demi gol sehingga Haaland dinobatkan sebagai penjaring terbanyak musim lalu.
Keputusan tepat turut dibuat dalam menjual pemain-pemain seperti Raheem Sterling dan Gabriel Jesus demi memberikan ruang buat pemain baru seperti Jack Grealish dan Julian Alvarez yang menjadi pengganti di posisi sayap kiri dan penyerang tengah menyinar.
Menariknya, mungkin buat pertama kali, pemain yang mereka singkirkan kembali menghantui beberapa hari lalu – Cole Palmer yang dijual kepada Chelsea dengan harga £42.5 juta (RM247 juta) menjaringkan gol penyamaan pada detik akhir untuk keputusan seri 4-4.
Berbeza dengan City, Chelsea dikritik hebat atas dasar boros berbelanja dan tidak mendapat pulangan sepatutnya sejak diambil alih oleh pemilik baru, Todd Boehly, musim lalu.
Pada awalnya, pembelian Palmer yang disempurnakan pada hari terakhir jendela perpindahan menimbulkan rasa hairan kerana posisi pemain itu di sayap kanan sepatutnya sudah pun diisi oleh Noni Madueke yang dibeli dari PSV Eindhoven.
Harga yang dibayar untuk Palmer juga dianggap terlalu tinggi buat pemain yang hanya beraksi 19 kali secara keseluruhan buat City sebelum ini.
Selang beberapa bulan, pembelian itu dianggap sebagai antara pembelian terbaik yang Chelsea lakukan.
Menurut statistik laman sesawang Transfermarkt, empat gol dan dua bantuan jaringan dalam sembilan perlawanan adalah angka yang dicatatkan oleh Palmer dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini – jumlah yang tidaklah kelihatan menakjubkan tetapi harus disorot bahawa dia tidak menjalani tempoh pra-musim bersama Chelsea, bermakna dia beraksi tanpa mengenali rakan sepasukan mahupun corak permainan secara mendalam tetapi masih berjaya membuahkan hasil.
Kesemua gol yang Palmer jaringkan setakat ini adalah hasil sepakan penalti, maka pasti ada juga suara-suara sumbang yang mengatakan pencapaian ini tidaklah sehebat mana, tetapi sedarkah mereka yang kebolehan untuk menyempurnakan penalti dalam persekitaran yang tinggi tekanannya bukanlah sesuatu yang wajar diremehkan?
Ketenangannya sewaktu berhadapan dengan penjaga gol lawan membuatkan gelaran ‘Cold Palmer’ diberikan oleh penyokong Chelsea, merujuk kepada kedinginannya yang dipamerkan dalam menyelesaikan tugas.
Menerusi saluran Sky Sports, bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher, menyifatkan Palmer sebagai pemain paling penting dalam skuad Chelsea sekarang kerana aksinya membawa pasukan ke satu tahap baru.
Pengurus City, Pep Guardiola, mendedahkan kepada pihak media bahawa dia pernah cuba untuk memujuk Palmer agar kekal sebelum ini.
“Saya beritahu Palmer yang Riyad Mahrez sudah dijual, maka dia berpeluang untuk mengisi posisi sayap kanan sebagai pemain kesebelasan utama tetapi dia tetap berkeras untuk berpindah, maka saya terpaksa melepaskannya,” ujar Guardiola.
Mungkin Palmer cukup bijak untuk sedar yang Phil Foden dan Bernardo Silva akan menjadi pilihan utama Guardiola untuk posisi sayap kanan tersebut, maka dia harus angkat kaki selagi peluang masih ada atau akan kekal sebagai pemain simpanan buat jangka masa lama.
Segala usaha Palmer kini dibalas apabila disenaraikan untuk beraksi dalam pasukan kebangsaan England buat pertama kalinya dalam aksi menentang Malta dan Macedonia Utara kelak.