Skip to main content

Bola Sepak

The City Boys bakal turunkan kesebelasan terbaik

fabio-maciel-(1).jpg
Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, lega tidak berhadapan sebarang kecederaan pemain utama dengan menegaskan The City Boys bakal tampil dengan kekuatan terbaik menjelang petembungan suku akhir pertama Piala FA dengan Selangor di Cheras, malam ini. 

Tempoh rehat hampir dua minggu memberi ruang untuk Maciel membariskan kesebelasan terbaiknya. 

Dengan barisan terbaik yang dimilikinya, Maciel tidak mahu kekecewaan menyelubungi skuad warga kota itu apabila menjadikan jaringan sebagai keutamaan selain memastikan gawang tidak dibolosi. 

"Kami mempersiapkan diri untuk aksi ini. Sudah tentu beraksi di laman sendiri akan menjadi lebih baik jika tidak dibolosi. 

"Pemain-pemain harus bermain secara bijak dan tersusun untuk memastikan kami meraih keputusan yang baik," katanya.

Tambah Maciel , aksi 'derby' selalunya berakhir dengan keputusan di luar jangkaan, justeru dia mengharapkan situasi itu memihak kepada anak buahnya. 

Apatah lagi dengan prestasi memberangsangkan penyerang, Zaquan Adha Abdul Radzak, ketika bersama skuad kebangsaan baru-baru ini, Maciel berharap momentum itu dapat dikekalkan. 

"Zaquan sudah dikenali dengan kualiti yang dimiliki. Kini dia menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sehingga membolehkannya dipanggil menyertai skuad kebangsaan. 

"Saya berharap dia dapat mengekalkan momentumnya, menampilkan aksi yang hebat pada malam ini serta menjaringkan gol untuk mendapatkan kemenangan," tambahnya.

Sementara itu, pemain tengah Selangor, Amri Yahyah, mengharapkan kecemerlangan Gergasi Merah di Stadium Cheras mampu memenuhi tuntutan sasaran utama musim ini. 

Sasaran ke final Piala FA perlu dimulakan dengan kelebihan dan anak buah Nazliazmi Nasir itu sudah pasti merencanakan jaringan awal sebagai cetusan terbaik. 

"Saya dapat lihat pemain-pemain dalam keadaan bersemangat tinggi dan sememangnya menantikan aksi pada malam ini. 

"Saya berharap agar rakan sepasukan dapat memberikan komitmen yang tinggi bagi aksi ini," katanya.

Amri menegaskan ketiadaan Joseph Kalang Tie dan Azamuddin Akil bukan alasan untuk Selangor gagal menyerlah. Sebaliknya, kemenangan di Kuala Terengganu, dua minggu lalu merupakan petanda cukup baik untuk memastikan 90 minit memihak kepada mereka. 


 

Advertisement

Must Watch Video