Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Cipta gol bukan tumpuan utama Giroud

paulpogbaoliviergiroud.jpg
Olivier Giroud tidak kisah menamatkan saingan Russia 2018 tanpa sebarang jaringan jika Perancis menjulang Piala Dunia.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu akan berdepan Belgium di St Petersburg dalam aksi separuh akhir -- perlawanan yang bakal menampilkan dua jentera serangan  berbakat.

Penyerang Chelsea, Giroud, memulakan saingan dalam kejohanan kali ini sebagai pemain gantian ketika Les Bleus menang 1-0 ke atas Peru dalam perlawanan kedua.

Kehadirannya dalam pasukan dengan beraksi sebagai pemain nombor 9 membuka ruang untuk Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe mencetak jaringan.

Gol adalah penting buat seorang penyerang dan timbul perdebatan mengenai kehadirannya dalam pasukan tetapi dua lagi kemenangan menjadi keutamaan pemain berusia 31 tahun itu.

"Jika saya tidak menjaringkan gol tetapi kami memenangi Piala Dunia, ia sudah memadai buat saya," kata Giroud.

"Saya cuba memberikan sokongan kepada barisan termuda dalam skuad kami. Saya mahu semangat untuk muncul juara dapat dirasai oleh setiap pemain Perancis," katanya.

Barisan serangan Belgium memiliki ciri-ciri yang sama seperti Perancis apabila meraih ilmu daripada Thierry Henry, yang memainkan peranan penting dalam barisan kejurulatihan Roberto Martinez.

"Saya sangat gembira jika dapat membuktikan kepada Henry bahawa beliau telah memilih pasukan yang salah.

"Saya lebih memilih Henry bersama Perancis, beliau merupakan bekas pemain yang berpengalaman."

Nacer Chadli, wira Belgium ketika menang 3-2 ke atas Jepun dalam pusingan 16, tampil beraksi dalam kesebelasan utama dalam suku akhir berdepan Brazil dan berharap semangat positif itu dapat diteruskan untuk aksi seterusnya.

"Jika anda menewaskan Brazil, anda seharusnya tidak takut kepada mana-mana pasukan," kata Chadli.

"Kemenangan ke atas Jepun melonjakkan semangat pasukan, ketinggalan 2-0 sebelum kami meraih kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan."

Pemain tumpuan

Perancis: Paul Pogba


Bertindak sebagai tonggak tengah skuad kendalian Deschamps dan menampilkan aksi cemerlang ketika menang ke atas Uruguay.

Belgium: Kevin De Bruyne

Memiliki persamaan seperti Pogba, De Bruyne kurang menampilkan permainan menyerang pada awal kejohanan di Russia. Hadir sebagai pemain tengah menyerang berdepan Brazil dan menjaringkan gol yang menakjubkan.
 

Advertisement

Must Watch Video