Skip to main content

Bola Sepak

Chi-Gon lengkapi jentera pertahanan Sarawak

smartselectimage_2018-01-31-21-57-55.jpg
Bekas pertahanan Korea Selatan, Kim Chi-Gon, 35, dinamakan import terakhir Sarawak musim ini bagi mengukuhkan jentera pertahanannya.

Pengendali Sarawak, Ian Andrew Gillan, berkata pemilihan Chi-Gon adalah untuk memperkukuh pertahanan tengah Sarawak, yang musim lalu dipikul oleh Ronny Harun dan Demerson Bruno Costa.

Pemain yang lahir pada 29 Julai 1983 ini mula melapor diri minggu lalu bagi melengkapi kuota import Asia.

Tiga import lain Sarawak ialah Mateo Roskam dari Croatia, Milos Raickovic (Montenegro) dan Nebojsa Marinkovic (Serbia).

Roskam dan Raickovic dikekalkan biarpun secara realitinya telah dilepaskan ketika musim berakhir.

Gillan berkat, beliau percaya pemain kelahiran Busan, Korea Selatan ini mampu menjadi "mesin pengekang" yang digeruni, apatah lagi dengan ketinggiannya menjangkau 1.83 meter.

"Saya percaya pengalaman beliau dapat membantu pasukan, seterusnya memimpin skuad ini berhadapan pasukan-pasukan handalan.

"Saya gembira kerana memiliki pemain berkualiti di semua posisi, dengan Chi-Gon mengisi kekosongan di benteng," katanya lagi.

Berkelulusan daripada Ajou University, pemain ini pernah beraksi dengan pasukan ternama Korea Selatan seperti Anyang LG Cheetahs (2002–2009), FC Seoul (2010–2017) dan Ulsan Hyundai (2011–2012).

Dia selepas itu menyertai kerahan tentera sehingga menyertai pemilihan skuad Sarawak.

Chi-Gon turut mewakili skuad kebangsaan negaranya, termasuk skuad bawah 20, bawah 23 dan senior pada musim 2004-2009.

"Saya optimis kehadiran Chi-Gon akan memberikan gandingan yang baik untuk kejayaan Sarawak musim ini.

"Ia juga sesuai dengan perancangan kewangan skuad ini," jelas Gillan lagi.

Advertisement

Must Watch Video