Skip to main content

Bola Sepak

Chiellini sedia rantai Kane

kane-chiellini.jpg
Harry Kane sedia beradu kebolehannya dengan Giorgio Chiellini menjelangkan pertembungan Tottenham Hotspur dengan Juventus dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok. 

Penggempur berbisa Spurs itu bakal mengetuai serangan di Stadium Allianz sesudah menjaringkan lapan gol dalam tujuh penampilan terakhir.

Bagaimanapun, dia berdepan ujian hebat untuk menggempur kubu Juve yang belum dibolosi dalam tujuh perlawanan tahun ini, malah pertemuan pertamanya dengan Chiellini dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 2015 masih segar dalam ingatannya.

"Chiellini merupakan pemain pertahanan yang luar biasa. Dalam lima minit pertama permainan ketika mewakili England, dia membuat terjahan yang sangat keras. Selamat datang ke bola sepak antarabangsa!" kata Kane dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Juve adalah pasukan yang hebat tetapi saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran ini. Saya selalu mengatakan bahawa saya mahu menguji kemampuan diri menghadapi pertahanan terbaik di dunia dan dia salah seorang daripadanya.

"Tidak ramai yang menjangka kami akan gagal keluar daripada peringkat kumpulan tetapi kami menjuarai kumpulan itu, oleh itu kami mesti mempunyai keyakinan untuk menghadapi Juventus," ujarnya.

Selepas Kane dan pengurus Spurs, Mauricio Pochettino, berhadapan dengan wartawan, Chiellini kemudian menghamburkan pujian terhadap bintang England itu. 

"Dia penyerang luar biasa, statistik tahun lalu telah membuktikannya," kata Chiellini. "Dia seorang pemain yang bercita-cita tinggi, perkara yang paling sukar adalah untuk terus bertambah baik.

"Dia pemain serba lengkap, melakukan jaringan, bekerja untuk pasukan, mempunyai ciri-ciri dan kemahiran yang membuatkannya penyerang terhandal di dunia. Tottenham bernasib baik untuk mempunyai pemain sepertinya, ia jarang berlaku.

"Saya fikir adalah mustahil untuk menyekatnya secara berseorangan, saya bukannya marah atau sombong, matlamat saya bersama Juventus adalah menghalangnya.

"Ini satu pertembungan yang sengit, seluruh pasukan harus melakukan yang terbaik untuk menyekat bukan sahaja Harry Kane tetapi rakan sepasukannya juga. Mereka mempunyai empat tonggak hebat dalam serangan (Kane, Dele Alli, Son Heung-min dan Christian Eriksen), kami tidak boleh fikir Tottenham hanya Kane."





 

Advertisement

Must Watch Video