Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Cavani tiada dalam senarai Ancelotti

edinson-cavani.jpg
Carlo Ancelotti tidak berminat untuk terus dikaitkan dengan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, untuk kembali beraksi di Napoli.

Dengan laporan mencadangkan PSG akan berusaha mengekalkan khidmat Neymar dan Kylian Mbappe, Cavani telah mula dikaitkan untuk kembali ke Serie A.

Tetapi Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, mencadangkan Cavani perlu mengurangkan gajinya kepada separuh untuk kembali ke kelab yang ditinggalkan pada 2013 itu untuk berhijrah ke Paris.

Apabila diajukan soalan mengenai cadangan mendapatkan Cavani, Ancelotti menolak dan menjelaskan Cavani bukan sasaran utama pasukan.

"Khabar angin sentiasa hadir ketika jendela perpindahan dibuka," kata Ancelotti. "Kami perlu mula bersedia untuk Januari.

"Saya memiliki barisan pemain yang berkualiti dan sangat bertuah kerana dapat melatih mereka. Jadi, saya tidak berminat dengan mana-mana pemain di luar pasukan ketika ini.

"Saya masih lagi belum melatih Dries Mertens (masih lagi berehat selepas kempen Piala Dunia) tetapi secara keseluruhan, Napoli adalah pasukan yang berkualiti."

Penjaga gol, Alex Meret, tidak dapat diturunkan apabila mengalami kecederaan patah tangan ketika menjalani latihan dan kelab sedang berusaha untuk mencari pengganti -- dengan bekas pemain nombor satu mereka, Pepe Reina, telah menyertai AC Milan.

Ancelotti bakal membimbing Napoli untuk aksi Serie A pertama berdepan Lazio bulan depan tetapi bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Chelsea dan Real Madrid itu tidak tergugat dengan situasi yang menimpa pasukannya.

"Kami akan menilai situasi ini dan cuba mencari jalan penyelesaian.

"Jendela masih dibuka hingga 17 Ogos, jadi kami perlu menilai isu ini dan mengatasinya."

Advertisement

Must Watch Video