Skip to main content

Bola Sepak

Cavani harap masalah betis tidak gugat peluangnya bertemu Perancis

cavani-2.jpg
Edinson Cavani optimis terhadap kecederaan betisnya selepas menjaringkan dua gol ketika bertemu Portugal awal pagi tadi untuk menghantar Uruguay ke suku akhir Piala Dunia Russia. 

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu membuka tirai jaringan ketika permainan baru berusia tujuh minit di Sochi, namun Pepe mengikat kedudukan buat Portugal pada awal babak kedua sebelum Cavani melencongkan bola untuk gol kemenangan pada minit ke-62.

Bagaimanapun, 12 minit selepas meletakkan pasukannya di depan, dia terpaksa dipapah keluar oleh pemain Portugal, Cristiano Ronaldo, lalu digantikan oleh Cristhian Stuani.

Sejurus Uruguay mengesahkan kemenangan untuk menempah pertemuan dengan Perancis di peringkat lapan terbaik, Cavani memberitahu A Bola: "Ini sangat menyeronokkan, Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkannya.

"Saya gembira, gembira, gembira, saya tertanya-tanya bagaimanakah keadaan penyokong yang berada di Uruguay."

Cavani telah menyumbat tiga gol di Russia tetapi kini kesuntukan masa untuk pulih bagi menghadapi Les Bleus pada Jumaat ini manakala tahap masalahnya akan diketahui melalui ujian imbasan.

"Saya harap ia tidak apa-apa," katanya. "Kami akan melihat apa yang berlaku, kami akan membuat pemeriksaan (perubatan).

"Saya berasa kesakitan di bahagian betis sehingga tidak dapat meneruskan aksi."
 

Advertisement

Must Watch Video