Skip to main content

Bola Sepak

Bournemouth belum keluar daripada bahaya penyingkiran -- Howe

eddie-howe-simon-francis-cropped_8vjcarw8s3d91kdkz3ux3qfeg.jpg
BOURNEMOUTH 2 STOKE CITY 1

Eddie Howe menegaskan Bournemouth tidak boleh bersantai dalam perjuangan mengelak penyingkiran walaupun menjarakkan diri tujuh mata di atas skuad tangga ketiga terbawah, Stoke City, dalam Liga Perdana Inggeris, semalam.


Joshua King dan Lys Mousset mengecewakan Stoke dengan sepasang gol lewat dalam kemenangan 2-1 di Stadium Vitality.

Kemenangan hasil kebangkitan pada hujung aksi itu membuatkan mereka tanpa tewas tujuh perlawanan berturut-turut dalam Liga Perdana.

Bagaimanapun, bos skuad Cherries itu memberi amaran kepada pasukannya agar jangan terlalu selesa di sebalik jadual padat.

"Bola sepak boleh berubah dengan cepat. Kami mahu terus fokus dan kami sedar ada banyak kerja keras yang perlu dilakukan," kata Howe kepada Sky Sports.

"Hari ini perasaan sangat berbeza berbanding kemenangan menentang Chelsea pada pertengahan minggu. Kami tidak bagus dalam babak pertama, kami terpaksa berusaha keras dan memastikan kami tidak dibolosi gol kedua.

"Tetapi kami berkembang dalam permainan. Kami bertambah baik pada setiap minit dan saya rasa kami menamatkan saingan dengan sangat baik," ujarnya.

Howe melontarkan pujian istimewa buat pemain gantian berpengaruh, King dan Mousset, selepas kedua-duanya menjaringkan gol, dengan Mousset menemui gol pertamanya dalam bola sepak Inggeris.

"Ia menunjukkan kualiti skuad. Dua pemain yang tidak memulakan perlawanan tampil memberi kesan kepada kami," katanya.

"Lys menunggu gol Liga Perdana pertamanya. Dia adalah seorang pemain berbakat, dia boleh melakukan perkara yang sangat istimewa di padang.

"Saya gembira dia meledak gol untuk kami," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video