Skip to main content

Bola Sepak

The Bos Gaurus intai sekat momentum Felda di Shah Alam

mehmet-durakovic-210717.jpg
Biarpun berat terpaksa menerima keputusan bermain di Stadium Shah Alam, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengharapkan pemainnya mampu memberi tumpuan sepenuhnya dalam misi meleburkan rekod tanpa kalah Felda United dalam tujuh perlawanan, malam esok. 

Notis pembatalan aksi di Stadium Perak kerana masalah padang hanya diketahui semalam, dengan pilihan kedua di Stadium TLDM, Lumut, juga gagal memenuhi piawaian ditetapkan komisioner perlawanan. 

Tiada pilihan beraksi di Shah Alam selaku tuan rumah, Durakovic tidak mahu mengeluh sambil mengharapkan pemain menerima perkara itu secara profesional. 

Baginya, pemburuan tiga mata lebih penting dalam memacu Perak mendaki perebutan naib juara Liga Super. 

"Ia bukan mudah tetapi apa yang mustahak adalah mempersiapkan mental pemain-pemain yang mengalami keletihan ekoran terpaksa bertandang jauh menaiki bas bagi memenuhi aksi di Kelantan dan bertemu Felda (di Jengka) sebelum kembali ke Ipoh dan ke Kuala Lumpur pula.

"Kami terpaksa menerima hakikat walaupun ini bukan persiapan yang ideal," katanya. 

Mengenai status ketua pasukan, Shahrom Kalam, yang telah melakukan kesilapan dalam dua aksi terakhir, pengendali The Bos Gaurus itu tiada perancangan untuk merehatkan bekas tonggak Selangor berkenaan. 

Dia juga mahu penyokong bersikap lebih terbuka sambil menyifatkan kesilapan boleh berlaku kepada mana-mana pemain. 

"Buat semua peminat, kita harus bersikap memaafkan, melupakan dan saling membantu antara satu sama lain, kita semua adalah seperti keluarga.

"Kami membuat kesilapan tetapi perlu memaafkan dan melupakannya. 

"Jadi, tolonglah berikan sokongan kepada kami. 

"Bukannya Shahrom berniat untuk melakukannya, kita semua adalah manusia biasa."

Pemain pertahanan itu juga bertekad untuk bangkit membuktikan sesuatu bagi membantu Perak mengharungi cabaran sehingga akhir musim ini. 

"Ini satu cabaran yang besar, bagaimanapun saya perlu mengambil positif dan tidak boleh mengalah. 

"Pengukur sebenar kami adalah pencapaian pada akhir musim nanti," kata Shahrom.
 

Advertisement

Must Watch Video