Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Bola sepak: Undian keseluruhan dijalankan semula

undi_1.jpg
Isu undian semula acara bola sepak  Sukan Asia akan menyaksikan perubahan kumpulan secara keseluruhan yang bakal diisi pasukan negara apabila ia akan berlangsung menerusi undian terbuka selewat-lewatnya minggu depan.

Walaupun masih belum ada sebarang keputusan rasmi, namun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi bayangan akan berlaku undian semula secara keseluruhan.

Hal itu sekali gus menyaksikan Malaysia memiliki peluang mengelak daripada berada satu kumpulan dengan Korea Selatan yang merupakan juara bertahan dalam temasya yang sama di Incheon, empat tahun lalu.

Jika berlaku undian keseluruhan, ia akan mengambil kira keputusan akhir yang dibuat Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Hal itu sekali gus menafikan hasrat Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia (INASGOC) yang hanya mahu undian membabitkan pasukan terlibat sahaja, iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin.

“Saya kira ada sedikit kekhilafan, jadi masalah ini bukan di peringkat FAM. Kita sudah bersedia untuk berdepan Korea Selatan tapi apabila mungkin ada penukaran, kita akan ikut keputusan badan pengelola.

“Undian mungkin dalam masa terdekat, mungkin minggu depan kerana kejohanan ini semakin hampir. Namun, ia bukan isu besar. Mengenai perlawanan (persahabatan) pasukan kita dengan China dan Arab Saudi, ia terpulang kepada jurulatih demi kebaikan pasukan negara,” kata Hamidin.

Sementara itu dalam perkembangan berbeza, kertas kerja program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dijangka siap sepenuhnya minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bolasepak Belia, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, ketika ini sedang menyiapkan kertas kerja seperti yang diminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Subahan dan Peter sedang berusaha untuk menyempurnakan kertas kerja ini dan akan dibentangkan  minggu depan," tambah Hamidin.

Sebelum ini, NFDP di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan, namun Syed Saddiq melihat program itu lebih wajar diletakkan di bawah badan induk FAM untuk proses jangka panjang.

Advertisement

Must Watch Video