LIGA SUPER MSIA
Bodoh untuk kalian, bijak untuk saya, Allah sebaik-baik perancang -- Bekas pemain Kedah
'Ada rezeki tidak ke mana'
Bekas bintang Kedah, Azmeer Yusoff, mengingatkan para pemain supaya terus mempercayai kehendak Tuhan dan jalan yang ditetapkan.
Dugaan dan ujian tidak lari daripada mendekati seorang manusia, namun harus bersikap berlapang dada dan menerima ketentuan. Setiap cabaran datang dengan cara berbeza-beza.
Iklan
Bekas tonggak berusia 38 tahun itu meninggalkan pesanan yang cukup mendalam menerusi hantaran di Instagramnya dengan menekankan punca rezeki adalah menerusi Allah.
Berikutan isu semasa yang sedang melanda beberapa buah pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang mengalami masalah kewangan dan sebagainya, Azmeer memberi nasihat dengan sangat jelas dan perlu diambil iktibar.
"Kepada pemain bolasepak yang berada dihujung tanduk, percaya dengan Allah dan percaya pada rezeki.
"Sila buang mentaliti bahawa bola sepak memberi kita rezeki. Salah. Sangat salah.
"Yang memberi kita rezeki ialah Allah. Tiada team jangan terlalu risau.
"Yang patut dirisaukan kalau tiada Allah," katanya.
Dalam masa sama, bekas pemain Kuala Lumpur City itu juga berkongsi mengenai rancangan sebenarnya untuk bersara daripada bola sepak.
Namun, ia tidak seperti yang diharapkan. 25 Mei 2025 lalu merupakan tarikh asal untuk menggantung but, namun tidak menepati jangkaan apabila perlu membuat keputusan lima tahun lalu.
Disebabkan itu, pelbagai tohmahan, cacian dan maklum balas negatif dilontarkan kepada Azmeer, tetapi ia tidak menggugat pendirian dirinya, sebaliknya memandang ia selaku titik permulaan yang baru dalam hidupnya.
"Allah sebaik-baik perancang.
"Benarlah firman Allah. Tarikh yang saya tunggu untuk bersara Allah tidak mengizinkan," katanya lagi.
Jelasnya, Azmeer bersyukur dengan apa yang terjadi kerana ia membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
"Bodoh untuk kalian, bijak untuk saya. Kerana apa?
"Kerana Allah pilih saya untuk bersara awal.
"Allah pilih saya untuk buka Pusat Pengajian al-Quran.
"Allah pilih saya untuk bagi pendidikan percuma pada semua orang.
"Allah pilih saya untuk bebas hutang.
"Allah pilih saya untuk ada kerjaya baru selepas bermain bola sepak," tambahnya.
Must-Watch Video