Skip to main content

Bola Sepak

Bermainlah seperti aksi persahabatan -- Guardiola dedah rahsia terakhir berdepan Arsenal

guardiola_2.jpg
Pep Guardiola menuntut barisan Manchester City agar menghadapi Arsenal dalam final Piala Liga Inggeris (EFL), tengah malam ini, umpama perlawanan persahabatan supaya mereka boleh meninggalkan Wembley tanpa kekesalan. 

Sebagai pengendali, Guardiola mempunyai rekod kejayaan tertinggi dalam final -- tiga gelaran Piala Dunia Kelab dan dua kali memenangi Liga Juara-Juara (UCL), Copa del Rey dan DFB-Pokal.

Satu-satunya kegagalannya dalam 10 perlawanan akhir buat bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu ialah ketika Cristiano Ronaldo membantu Real Madrid meraih Copa del Rey 2011 pada masa tambahan. 

Musim sulungnya pada tahun lalu menyaksikan kegagalan pertamanya menjulang sebarang trofi, dan Guardiola tidak gusar andai reputasinya tercalar sekiranya mengambil pendekatan sedemikian bagi berdepan skuad bimbingan Arsene Wenger itu. 

Sebagai pemain, Guardiola pernah beraksi di Wembley ketika Barcelona memenangi Piala Eropah pertamanya pada 1992 dan mesejnya kepada anggota muda skuad City yang belum pernah menjulang trofi utama adalah mudah.

"Dalam perlawanan akhir pertama pemain, mereka akan berasa lebih gementar berbanding yang menyusul kemudian" kata Guardiola. 

"Apa yang saya cuba katakan kepada pemain adalah cuba beraksi seperti perlawanan persahabatan. 

"Mereka perlu bersikap tenang (tetapi dalam masa sama) perlu lebih berani. Itu sahaja dan esok kami akan cuba melakukannya.

"Saya fikir kami perlu cuba menikmati satu permainan yang terbaik, ini adalah perlawanan akhir, kami berada di sini untuk bermain jenis permainan ini, kenapa perlu berasa gemuruh? Mengapa perlu bimbang untuk menang, menang, menang?

"Ini hanya satu permainan. Tiada penyesalan selepas perlawanan -- 'Oh, kini sudah terlambat, saya tidak melakukan apa yang harus saya lakukan' -- kerana ia adalah perlawanan akhir.

"Semua orang akan menonton kami, baik untuk penyokong kami dan peminat Arsenal untuk mara ke final dan sudah pun berada di sana," katanya.

Arsenal menundukkan City 2-1 di Stadium Wembley dalam separuh akhir Piala FA musim lalu -- Gabriel Jesus terlepas perlawanan berkenaan sebelum ditimpa kecederaan jari kaki. 

Penyerang Brazil itu kemudian terpaksa berehat akibat masalah lutut ketika seri 0-0 dengan Crystal Palace pada hujung tahun lalu, namun dia kembali menjalani latihan dan bersedia untuk beraksi hujung minggu ini -- kebarangkalian dari bangku simpanan sebagai pengganti kepada penjaring terbanyak, Sergio Aguero, yang mengetuai barisan itu.

"Gabriel mempunyai kekuatan mental," kata Guardiola. "Dia seorang pemain muda, dia tabah, dia sentiasa bersedia."

Walaupun mengalami kekalahan 1-0 kepada wakil League One, Wigan Athletic, dalam Piala FA pada awal minggu lalu, Piala EFL masih boleh menjadi trofi sulung City sebelum kejuaraan lain menyusul, termasuk selepas mereka sudah sebelah kaki ke suku akhir UCL dengan bekalan selesa 4-0 ke atas Basel. 

Bagaimanapun, Guardiola tidak akan menganjurkan sebarang perayaan besar-besaran sekiranya pasukannya menang. Ini kerana mereka bakal berdepan Arsenal dalam aksi Liga Perdana pada awal pagi Jumaat depan. 

Ditanya sama ada dia akan membenarkan pasukannya menikmati minuman alkohol sekiranya mereka menang, pengurus berusia 47 tahun itu lantas berkongsi pengalamannya. 

"Saya fikir bercakap mengenai meraikan kejayaan sebelum sepak mula adalah bodoh, ia tidak masuk akal," jawabnya. 

"Sebelum meraikan kejayaan, kami perlu beraksi tetapi biasanya tidak ada alkohol," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video