LALIGA
Bellingham bawa sinar buat England
Persaingan sengit dalam setiap liga utama bakal direhatkan seketika dengan menjelangnya aksi kelayakan Euro 2024 seminggu lagi.
Dalam kalangan negara yang bersaing, kisah tersendiri di antara dua tokoh dalam pasukan England agak menarik perhatian.
Musim ini menyaksikan kebangkitan Jude Bellingham yang menjadi wira buat pasukan barunya, Real Madrid, dalam hampir setiap perlawanan.
Iklan
Sepuluh gol dijaringkan dalam 10 perlawanan, menyamai rekod yang dahulunya dicatatkan oleh Cristiano Ronaldo.
Ada yang hadir pada saat paling diperlukan pada minit-minit akhir perlawanan, ada yang tiba tanpa disangka-sangka menerusi cetusan yang tidak dapat dibaca lawan – menjadikan dirinya wira yang cukup disayangi penyokong Los Blancos ketika ini.
“Di padang, saya mahu menjadi seorang seniman yang mencipta peluang untuk rakan sepasukan, tetapi apabila bola masuk ke kawasan berbahaya, saya mahu menjadi seorang ‘pembunuh’,” ujar Bellingham dalam temu bual bersama ESPN bulan lalu.
Tidak dinafikan gerak-gerinya persis seorang seniman yang sedang gigih mencipta hasil karya agung, mewujudkan detik-detik ajaib yang menjadikan ramai tercengang dan memperkenalkan satu gaya permainan yang tidak mampu ditiru sesiapa.

Penyerang legenda Arsenal, Thierry Henry, pernah ditanya sama ada Bellingham boleh disamakan dengan mana-mana pemain tengah berstatus bintang yang pernah beraksi bersamanya.
Henry menjawab Bellingham mengingatkan dirinya serba-sedikit kepada Patrick Vieira yang tidak mampu dihentikan sewaktu mara ke arah pintu gol lawan, tetapi Bellingham lebih tepat diibaratkan sebagai Vieira versi moden yang lengkap serba-serbi.
Jika nama Bellingham diserikan dengan pujian dari setiap sudut, berbeza pula kisahnya dengan pengurus England, Gareth Southgate.
Ia bukan satu rahsia bahawa jawatan yang digalasnya adalah antara yang paling tinggi tekanannya – beban untuk membawa kejayaan yang lama menyepi buat sebuah negara yang liganya dianggap sebagai terbaik di dunia.
Setelah hampir tujuh tahun menduduki kerusi panas itu, kesan negatif semakin jelas kelihatan pada Southgate setiap hari.
Meski berjaya membawa England ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan menunjukkan persembahan baik pada Piala Dunia 2022, ketiadaan trofi pada penghujung hari menjadikan setiap langkah mahupun kata-kata yang diucapkannya dikritik pedas.
Aspek percaturan taktikal dan pemilihan pemain Southgate merupakan topik yang paling hangat dibicarakan setiap kali England turun ke padang.
Biarpun England tidak pernah tewas walau sekali pun dalam enam perlawanan pasca Piala Dunia 2022, saluran-saluran media England masih kekal menghujaninya dengan kritikan.
Berdasarkan nada suara dan jawapan yang diberikan dalam temu bual kebelakangan ini, tidak sukar dirumuskan bahawa Southgate sudah lelah dan mungkin tidak sabar untuk mengakhiri tanggungjawab besar ini dan beralih ke sesuatu yang lebih menyegarkan.
Mujurlah buat Southgate dan juga England, kehadiran Bellingham diharapkan membawa sinar dan kegirangan yang seolah-olah tidak wujud dalam aksi pasukan kebangsaan mereka kebelakangan ini.
Kesedihan seorang pengurus dineutralkan oleh kemanisan seni permainan salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini, itulah harapannya.
Seteru yang menanti dalam pusingan kelayakan seterusnya adalah Itali, negara yang berhadapan dengan kisah penuh luka tersendiri, namun tidak sesekali wajar dipandang remeh.
Emosi apakah yang bakal kita saksikan saat usainya pertembungan dua negara ini?
Must-Watch Video