Skip to main content

Bola Sepak

Belajar daripada kekalahan -- Mario

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mario.jpg
Pemain tengah skuad B-19 negara, Muhammad Firdaus Khaironisam, tidak mahu tunduk dengan keadaan, sebaliknya menganggap kekalahan pertama dalam perlawanan pembukaan Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh kelmarin sebagai proses pembelajaran untuk mereka bangkit mengatasi Singapura, petang ini.

Firdaus, yang lebih dikenali sebagai Mario dalam kalangan rakan sepasukan, mengakui kekalahan 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan pertama itu bukanlah kualiti sebenar yang dimiliki mereka.

Namun, kekalahan itu banyak mengajar mereka untuk menjadi lebih matang, terutama ketika berdepan situasi genting.

"Kami belajar tentang bagaimana rentak permainan di peringkat antarabangsa.

"Mereka lebih pantas dan lebih bersedia daripada aspek taktikal.

"Itu kelebihan mereka," katanya.

Jolokan Mario itu diberikan oleh ayahnya, Khaironisam Shahabuddin, yang juga bekas pertahanan tengah negara.

Ia bersempena nama pemain legenda Brazil, Romario de Souza.

Sudah pasti sebagai anak kepada bekas pemain bola sepak, kata-kata perangsang daripada ayahnya umpama suntikan semangat luar biasa untuk dia beraksi lebih cemerlang selepas ini.

"Anak kepada pemain bola sepak? Tiada kelebihan pun.

"Cuma nama sahaja.

"Apa yang telah ditunjukkan ayah saya, saya perlu melakukannya di atas padang untuk menunjukkan yang saya lebih baik daripadanya.

"Dia pesan jangan takut, tenang dan buat sehabis baik," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video