EPL
Bekas pemain EPL gesa VAR dimansuh
Video bantuan pengadil (VAR) menjadi tajuk utama Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini menyaksikan rekod cemerlang tanpa kalah Arsenal punah di laman Newcastle United awal pagi tadi.
Dalam sepak mula lebih awal, perlawanan di antara Manchester United dan Fulham turut tertangguh lama selepas pengadil memerlukan bantuan VAR sebelum tidak mengesahkan jaringan yang dihasilkan oleh Scott McTominay.
Padahal sebulan yang lalu, jaringan Luis Diaz telah mengundang kontroversi selepas dibatalkan oleh Lembaga Pegawai Rasmi Profesional Perlawanan (PGMOL) walaupun grafiknya gagal memaparkan garisan ofsaid tersebut.
Iklan
Kontroversi ini, membangkitkan lagi persoalan keperluan teknologi itu dalam menentukan keputusan yang lebih tepat buat pengadil di atas padang.
"Lebih banyak masalah tercetus dengan penggunaan VAR berbanding pengadil. Kita faham kesilapan pengadil merupakan kesilapan manusia, tetapi masih berlaku kesilapan manusia selepas VAR dirujuk selama empat minit" kata bekas penyerang Newcastle United, Les Ferdinand ketika ditemu bual oleh wakil Astro, Michelle Lee.
Bekas rakan sepasukannya, Olivier Bernard turut bersependapat sambil beranggapan pengadil di atas padang seharusnya diberikan kuasa penuh.
"Saya bersetuju jika menggunakan teknologi garisan gol, tetapi bukannya VAR. Pihak yang mengendalikan VAR mungkin boleh menjadi berat sebelah," kata Bernard.
Tambah lagi seorang bekas pemain, Kevin Campbell: "Buang VAR! Mereka tidak benarkan bekas pemain terlibat."
Justeru, dalam usaha menerapkan pengadilan adil dalam Liga Malaysia (Liga-M) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sedang giat menghantar beberapa pegawai untuk menjalani kursus mengendali VAR.
Dengan kos tinggi dan VAR belum pasti mampu berikan hasil terbaik, apakah wajar FAM memperkenalkan sistem VAR di Malaysia tatkala pengurusan kelab masih lagi terumbang-ambing.
Must-Watch Video