Skip to main content

Bola Sepak

Bayern sedia ikat Coman dari Juventus

coman-wants-to-stay-for-many-years-at-bayern-munich.jpg

Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, mengesahkan bahawa penyandang juara Bundesliga itu mahu mengikat Kingsley Coman secara tetap.

Kontrak pinjaman selama dua tahun dari Juventus akan berakhir hujung musim ini dan Bayern perlu membuat keputusan mengenai masa depan pemain berusia 20 tahun itu sebelum April.

Kecederaan buku lali yang dialami ketika aksi antarabangsa pada November lalu telah menyekat aksi pemain itu setakat ini, namun persembahan menakjubkan pemain itu musim lalu difahamkan telah cukup menambat hati pengurusan Bayern.

"Ketika ini, kami sememangnya menuju ke arah itu," Rummenigge memberitahu Fussball Bild.

"Kami akan membuat keputusan rasmi berkenaan perkara ini. Secara keseluruhan, kami amat yakin dengan kemampuan pemain ini.

"Tetapi kami juga perlu mengambil kira persembahannya musim lalu lebih baik berbanding musim ini tatkala dia dihimpit kecederaan."

Sementara itu, seorang lagi pemain muda yang dikaitkan dengan Bayern adalah pemain tengah Werder Bremen, Serge Gnabry.

Pemain berusia 23 tahun itu telah mempamerkan aksi menakjubkan musim ini dengan sumbangan tujuh gol dalam 15 penampilan Bundesliga sejak berhijrah dari Arsenal, Ogos lalu.

Bagaimanapun, dengan adanya pemain seperti Arjen Robben, Franck Ribery, Douglas Costa dan Coman, Rummenigge menegaskan Bayern memiliki kualiti yang mencukupi di bahagian sayap.

"Gnabry seorang pemain Werder Bremen, jadi saya enggan mendatangkan masalah dengan mereka," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video