Skip to main content

Bola Sepak

Bayern buka kempen pra-musim dengan kemenangan

bayern-070717.jpg
BAYERN MUNICH 4 WOLFRATSHAUSEN 1

Thomas Muller muncul antara penjaring apabila Bayern Munich memulakan persiapan musim 2018 dengan kemenangan 4-1 dalam aksi persahabatan dengan Wolfratshausen. 


Mats Hummels dan Kingsley Coman turut diturunkan oleh ketua jurulatih, Carlo Ancelotti, dalam kesebelasan utama perlawanan itu yang dimainkan selama 30 minit dalam setiap babak. 

Kecederaan ringan di bahagian otot menafikan peluang Franck Ribery dan Javi Martinez daripada beraksi. 

Bayern mendahului seawal minit keempat menerusi rembatan kaki kiri Manuel Wintzheimer dari jarak 20 ela. 

Bayern mencipta beberapa peluang berbahaya lagi menerusi Muller dan Hummels tetapi kurang tepat. 

Pemain muda, Wintzheimer, turut gagal menyudahkan beberapa peluang terbuka dan jaguh Bundesliga itu akhirnya berjaya menggandakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama. 

Diperkenalkan pada babak kedua, Franck Evina pantas mencetuskan impak apabila menyambut umpanan Coman dan sentuhan pemain kelahiran Cameroon berusia 17 tahun itu sekali lagi menggegar gawang, seminit sebelum tamat permainan. 

Wolfratshausen, yang merupakan kelab divisyen kelima, bagaimanapun, mendapat gol sagu hati menerusi Vincenzo Potenza yang menewaskan Tom Starke. 

Meskipun sudah menggantung but pada akhir musim lalu, Starke mengisi posisi penjaga gol Bayern buat sementara waktu berikutan Manuel Neuer dan Sven Ulreich masih lagi menjalani rawatan akibat kecederaan. 




 

Advertisement

Must Watch Video