Skip to main content

Bola Sepak

Bartomeu label Joan Laporta tidak cekap urus Barcelona

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bartomeu.jpg
Bekas Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, menuduh penggantinya, Joan Laporta, menguruskan kewangan kelab itu dengan teruk lalu mendorong Lionel Messi meninggalkan kelab itu. 

Bartomeu, yang mengundurkan diri sebagai ketua Barca pada Oktober 2020 selepas hampir tujuh tahun memegang peranan itu, juga mempersoalkan mengapa Barca mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan bekas pemain, Neymar, mengenai hutang tertunggak dalam satu surat terbuka yang ditujukan kepada penggantinya tersebut. 

Terdahulu, Laporta menuding jari bahawa segala kemelut yang dihadapi mereka ketika ini kepada bekas presiden itu berikutan meninggalkan kelab berkenaan dalam keadaan kewangan yang meruncing hingga merosakkan jodoh mereka dengan ikon dunia, Messi. 

Namun, ketika mengulas perpindahan berprofil tinggi Messi buat pertama kalinya, Bartomeu menegaskan langkah ekonomi yang dirancangnya sepatutnya mampu membantu Barcelona melalui kesan COVID-19 sambil dia mengalihkan fokus kesalahan itu terhadap Laporta.

"Seperti yang diketahui, ahli lembaga pengarah merancang untuk mengadakan pemilihan presiden pada 21 Mac. Dalam tempoh sah pada penghujung mandat yang kami pikul ketika itu, kami pastinya mampu menyelesaikan masalah akaun musim 2020-21," kata Bartomeu. 




"Kemudian kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya agar kemelut ini tidak sampai ke tahap seperti ini. 

"Kami adalah satu-satunya pihak yang memikul amanah ketika penutupan (stadium) akibat pandemik ini dan menanggung kesannya. Perkara ini langsung tidak dipertimbangkan oleh ahli lembaga yang baru sepanjang bulan-bulan terakhir ini, jelas sekali mereka tidak aktif."

Bartomeu mendedahkan kelab itu mungkin masih mampu menampung had gaji yang ditetapkan penganjur, LaLiga. Oleh itu, ia dapat menghalang Messi daripada menyertai Paris Saint-Germain (PSG) seandainya mereka menerima bantuan dari pihak luar.

"Sejak April 2020 lagi kami telah memulakan projek Korporat Barcelona ​​yang secara ringkasnya merangkumi kemasukan empat rakan strategik," katanya lagi.

"Sekiranya ahli lembaga (Laporta) bersetuju dengan projek Korporat Barcelona itu, ia bermaksud suntikan modal sekurang-kurangnya €220 juta (RM1 bilion) bagi tujuan mengurangkan kerugian pendapatan yang berpunca daripada COVID dan pada 2020-21, ia meningkat kepada €375j (RM1.8b).

"Dengan RM1b itu, ditambah pula dengan usaha pemotongan gaji pemain sebanyak 20 peratus iaitu berjumlah €90j (RM449.8j) yang membabitkan kontrak bermula 21 Mac 2021, maka syarat yang ditetapkan LaLiga pasti akan dapat dipatuhi, ia secara tidak langsung membolehkan pemain baru didaftarkan."

Bartomeu kemudian beralih kepada berita baru-baru ini bahawa Barcelona telah mencapai persetujuan damai untuk mengakhiri pertikaian panjang dengan Neymar yang berpindah ke PSG menerusi rekod dunia bernilai €222j (RM1.1b) pada Ogos 2017.

Pemain antarabangsa Brazil tersebut mendakwa bekas majikannya itu masih berhutang €43.6j (RM217.9j) berhubung isu bonus, namun gergasi LaLiga berkenaan membalas saman terbabit yang menyaksikan keputusan mahkamah memihak kepada kelab itu apabila Neymar diperintahkan supaya membayar ganti rugi setinggi €6.7j (RM33.4j).

Bartomeu menambah: "Saya juga terperanjat dengan keputusan mereka untuk memaafkan bekas pemain, Neymar, memandangkan daripada segi undang-undang harapannya adalah amat jelas memihak kepada FC Barcelona dan mereka tidak perlu membayar apa-apa kepada pemain terbabit. 

"Mengapa anda membuat keputusan yang bertentangan dengan kepentingan kelab?"


 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video