Skip to main content

Bola Sepak

Bartomeu kritik Neymar kerana kurang jujur

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

18917goalball.jpg
Pertelingkahan di antara Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, dan Neymar berterusan selepas ketua kelab Catalan itu menyerang pemain Brazil berkenaan kerana kurang jujur dalam perpindahannya ke Paris Saint-Germain (PSG).

Gergasi Ligue 1, PSG, mengejutkan dunia bola sepak apabila membayar klausa pelepasan €222 juta (RM1 bilion) untuk Neymar bulan lalu, membuatkan Barcelona tidak terdaya untuk menepisnya.

Selepas itu, Bartomeu dan Neymar berbalas membuat kenyataan media, dengan bintang Brazil itu juga melebelkan presiden berusia 54 tahun itu sebagai "jenaka" dalam satu temubual baru-baru ini.

Kini, Bartomeu mengulas mengenai kurangnya ketelusan Neymar yang ingin berhijrah, dengan Barca sebelum ini mengharapkan dia menandatangani perjanjian baru dan bukannya pergi ke Parc des Princes.

"Kami terlalu percayakan mereka (Neymar dan penasihatnya)," kata Bartomeu kepada La2.

"Apabila seorang pemain mahu meninggalkan pasukan, dia mesti jujur seperti yang Alexis (Sanchez), Pedro (Rodriguez) atau Cesc (Fabregas) lakukan, kami tidak akan menyakiti pemain yang tidak gembira."

Sama seperti Neymar juga, terdapat tanda tanya mengenai masa depan kapten kelab, Andres Iniesta.

Bartomeu mengulangi pendirian Barca kerana mereka mahu mengekalkannya tetapi dia juga menerima bahawa kelab perlu mengambil kira keinginan Iniesta.

"Dia akan menentukan berapa lama dia mahu kekal," tambah Bartomeu.

"Kami mahu dia kekal bersama kelab dan mempunyai kontrak istimewa kerana dia berhak membuat keputusan apabila mahu pergi.

"Dia adalah inspirasi untuk semua dan melambangkan apa yang kita semua inginkan untuk kelab. Dia bermain dengan baik dan membantu pasukan, dan saya fikir dia lebih dekat dengan memberitahu kami 'ya'."

Bartomeu juga memberi komen mengenai Ousmane Dembele, yang dijangka berehat selama empat bulan selepas mengalami kecederaan hamstring dalam kemenangan di Getafe, Sabtu lalu, dengan beliau kagum dengan keyakinan pemain berusia 20 tahun itu pada peringkat pemulihannya.

"Dia akan kembali dan pasti memberikan kepada pasukan seperti apa yang kita lihat dalam perlawanan pertamanya," katanya.

"Saya telah bercakap dengannya dan walaupun dia kecewa, saya perasan bahawa dia yakin dan optimis tentang pemulihannya."
 

Advertisement

Must Watch Video