Skip to main content

Bola Sepak

Barcelona tidak risau terhadap spekulasi Neymar ke PSG

neymar-cropped_lcqeeoxge4cj1dc94bnzs768o-(1).jpg
Neymar gembira di Barcelona di sebalik laporan Paris Saint-Germain (PSG) bersedia untuk memenuhi klausa pelepasan €222 juta (RM1 bilion) untuk bintang Brazil itu, menurut jurucakap kelab, Josep Vives.

Terdahulu, Pengarah Teknikal Barca, Robert Fernandez, menegaskan bahawa gergasi LaLiga itu tidak menerima tawaran untuk pemainnya dan tiada siapa yang berada di pasaran untuk memenuhi klausa pelepasan yang dimasukkan ke dalam kontrak baru Neymar yang ditandatangani Oktober lalu.

Bagaimanapun, laporan bahawa PSG bersedia membuat perpindahan sensasi tetap berterusan, dengan akhbar harian Catalan, Sports, mendakwa penasihat Neymar percaya sudah tiba masanya untuk pemain berusia 25 tahun itu keluar daripada bayang-bayang Lionel Messi di Camp Nou.

Bercakap dalam sidang media mengenai kedudukan kewangan Barcelona yang mencatat pendapatan sebanyak €708 juta (RM3.5 bilion) dalam tempoh 12 bulan terakhir, Vives menegaskan Neymar tetap komited untuk bekerja di bawah jurulatih baru, Ernesto Valverde.

"Satu-satunya perkara yang kami ambil perhatian ialah dia tetap gembira di sini," kata Vives. "Dia beraksi dalam musim yang hebat dan dia masih merupakan salah seorang yang terbaik di dunia.

"Dia gembira di kelab ini dan kelab gembira dengannya. Dia katakannya dan dia tunjukkan dengan sikapnya. Kami tidak risau tentang hal itu dan kami hanya berharap musim depan lebih baik daripada yang terakhir.

"Pemergian Neymar bukan dalam imaginasi kelab. Kelab hanya berfikir untuk menjaga pemain terbaik seperti dia, salah satu simbol utama kami."
 

Advertisement

Must Watch Video