Andres Iniesta mengalami kecederaan betis ketika Barcelona menewaskan Real Sociedad 1-0 dalam saingan Piala Raja Sepanyol pada Khamis.
Barca mengesahkan pemain berpengalaman itu mengalami kecederaan selepas aksi suku akhir pertama itu berakhir.
Pemain berusia 32 tahun itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan pada Jumaat bagi mengenal pasti tahap kecederaannya.
Iniesta telah dikeluarkan pada masa rehat dan digantikan dengan pemain tengah Portugal, Andre Gomes.
Skuad kendalian Luis Enrique berjaya melakar kemenangan 1-0 -- hasil sepakan penalti Neymar pada babak pertama -- sekaligus menamatkan badi kekalahan di Anoeta selepas sembilan percubaan.
"Kami berbangga dengan kemenangan ini," ujar pemain tengah, Sergio Busquets.
"Bagaimanapun, kami ada satu lagi pertembungan selepas ini, mereka (Real Sociedad) merupakan pasukan yang kuat."
Kedua-dua pasukan akan bertembung dalam aksi suku akhir kedua di Camp Nou, Khamis depan.