Skip to main content

Bola Sepak

Barca yakin hadapi Atletico tanpa kelibat Iniesta, Busquets

luis-enrique-barca-can-cope-without-iniesta-busquets.jpg
Luis Enrique yakin Barcelona mampu menangani ketiadaan Andres Iniesta dan Sergio Busquets menjelang pertemuan dengan Atletico Madrid dalam saingan Copa del Rey.

Ketiadaan Iniesta dan Busquets, masing-masing akibat masalah betis dan pergelangan kaki, memberi kesan kepada penyandang juara itu yang menyaksikan mereka sekadar seri 1-1 dengan Real Betis. 

Cabaran lebih getir menanti mereka awal pagi esok apabila pasukan kendalian Luis Enrique itu akan mengunjungi Vicente Calderon untuk pertemuan pertama separuh akhir Copa. 

Jurulatih itu menegaskan pemain yang sedia ada masih mampu menghasilkan keputusan positif tanpa dua tonggak utama itu. 

"Saya gembira dengan apa yang saya ada, dengan pasukan saya," katanya. 

"Kami mengharungi detik sukar pada waktu ini. Kami ditimpa masalah kecederaan. Kami kehilangan pemain yang benar-benar penting. 

"Tapi ini bukanlah waktu untuk kami bercakap mengenai pemain yang tidak boleh diturunkan -- ini bukanlah masa yang sesuai untuk membincangkannya."

Rafinha sudah pulih daripada kecederaan hamstring dan akan turut menyertai rombongan ke Madrid di samping penjaga gol pilihan ketiga, Jordi Masip, berikutan pilihan utama, Marc-Andre ter Sregen, bakal direhatkan manakala Lucas Digne tersisih akibat kecederaan lutut. 

Samuel Umtiti hampir pasti diturunkan apabila mendapat pujian istimewa daripada Enrique. Dia percaya pemain pertahanan itu berjaya menyesuaikan diri di sebalik jangkaan tinggi berikutan penghijrahannya ke kelab antara yang terbaik di dunia. 

"Dia menyesuaikan diri dengan baik di atas kualiti teknikal dan taktikal yang dimilikinya, bukan sekadar kelebihan fizikal," ujarnya lagi. 

"Berhubung prestasinya, ia sesuatu yang anda akan temui apabila hadir bermain untuk Barca. 

"Kita selalu berfikir bahawa muka baru akan mengulangi persembahan seperti ketika bersama kelab lama.

"Tetapi mereka hadir di Barcelona dan Real Madrid dengan beban tambahan, kemudian prestasi mereka semakin merosot dan menjadi semakin sukar untuk mereka mendapatkan rentak. 

"Namun, bagi kes Umtiti, dia bukan sahaja mencapai apa yang kami harapkan, malah prestasinya juga semakin meningkat."

Advertisement

Must Watch Video