Skip to main content

Bola Sepak

Banyak perkara positif dalam pasukan Selangor -- Maniam

30717selangor.jpg
Biarpun membariskan sebahagian besar pemain simpanan, Selangor membuktikan mereka masih lagi sebuah pasukan yang mantap untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal ketika saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan.
 
Kemenangan 3-2 ke atas Terengganu malam tadi melalui jaringan minit terakhir Rufino Segovia memberikan suntikan moral yang cukup tinggi kepada Selangor dalam misi melayakkan diri ke final buat kali ketiga berturut-turut.
 
Jurulatihnya, P. Maniam, gembira melihat semangat dipamerkan majoriti pemain yang kental bertahan walaupun diasak hebat skuad tuan rumah.
 
Dia juga mahu menujukan kejayaan mara ke suku akhir Piala Malaysia kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) serta penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan.
 
"Cara mereka bermain menunjukkan mereka sangat bersemangat. Kita dapat melihat banyak perkara positif dalam pasukan.

"Pada masa yang sama, kami melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia dan pujian harus diberikan kepada pemain dan penyokong.

"Jangan lupa kelayakan ke suku akhir ini adalah hadiah untuk presiden kami,  Datuk Seri Subahan Kamal," kata Maniam selepas tamat perlawanan itu di Kuala Terengganu. 

Terengganu pula kini mahu mengalihkan misi mereka dengan memburu dua slot teratas Liga Perdana selepas mengangkat bendera putih dalam kancah Piala Malaysia.
 
Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, akan merehatkan ramai pemain utama dalam dua baki perlawanan kumpulan dengan tumpuan akan diberikan kepada aksi bertemu Kuantan FA, 4 Ogos ini.
 
"Kami perlu jaga moral kami. Main tetap main tetapi yang penting adalah pertemuan dengan Kuantan FA pada 4 Ogos nantu. Itu cukup penting," katanya.

Advertisement

Must Watch Video