Skip to main content

Bola Sepak

Azzmi nafi kemenangan ke atas UITM FC sudah dijangka

azzmi-aziz.jpg
Penolong jurulatih Kedah, Azzmi Aziz, menganggap kebangkitan pasukan selepas kekalahan kepada Perak dalam saingan Liga Super awal bulan ini menjadi petanda kejuaraan Piala Malaysia mampu dipertahankan.

Kemenangan besar 5-0 ke atas UITM FC semalam meletakkan Lang Merah di puncak Kumpulan C.

Azzmi, bagaimanapun, menafikan ia kemenangan yang dijangka, sebaliknya menegaskan skuad kendalian Wan Mustafa Ismail itu berjaya menguji ketahanan sebenar anak buahnya.

"Kami tidak menjangkakan kemenangan mudah kerana setiap pasukan yang melangkah ke Piala Malaysia memiliki kualiti.

"Jelas, UITM mendapat beberapa peluang untuk membuat jaringan, namun mereka kurang bernasib baik," ujarnya.

Bagaimanapun, keberkesanan Kedah untuk mendominasi perlawanan dalam babak kedua membuktikan mereka memiliki kualiti tersendiri dalam mempertahankan kejuaraan.

Dalam aksi kedua Piala Malaysia semalam, Kedah jelas menguasai perlawanan, namun UITM yang bersaing dalam Liga Perdana beberapa kali mencemaskan pertahanan Lang Merah.

Bagaimanaun, kehampaan sekali lagi memihak UITM apabila peluang terhidang gagal dimanfaatkan, terutama membabitkan penjaring terbanyak Liga Perdana, Akanni Sunday Wasiu.

"Saya kecewa sedikit kerana peluang terbuka yang kami dapat gagal dilunaskan. Saya mengharapkan pemain saya meneruskan usaha tanpa rasa jemu," kata pengendali, Wan Mustafa.

Advertisement

Must Watch Video