Skip to main content

Bola Sepak

Azi Shahril, Ridzuan sedia buka buku baru

28717terengganu.jpg
Dua pemain Terengganu, Azi Shahril Azmi dan Ridzuan Abdunloh mahu membuka buku baru selepas menempuh cerita berbeza dengan bekas pasukan masing-masing pada awal musim.

Azi pada awal musim merupakan pemain Felcra FC, namun digugurkan oleh majikannya sebelum musim bermula apabila terbabit dengan insiden bertumbuk dengan pemain Kedah, Farhan Roslan, dalam aksi persahabatan, 11 Januari lalu.

Tidak mempunyai sebarang pasukan selama enam bulan, bekas pemain kebangsaan berusia 31 tahun ini berasa gembira kerana Irfan Bakti Abu Salim memberi peluang kedua buat dirinya untuk kembali beraksi.

"Saya agak bergelut untuk mencari sentuhan di atas padang selepas enam bulan tidak beraksi tetapi pengalaman yang dimiliki dapat membantu saya untuk beraksi dengan baik," kata Azi Shahril.

Cerita berbeza pula buat pemain muda, Ridzuan, yang lega akhirnya dapat bermain lebih kerap berbanding berada di bangku simpanan ketika di Felda United.

Bekas pemain Harimau Muda A ini bertekad memulihkan kembali kariernya, tambahan pada usia 23 tahun, masih banyak perkara perlu dipelajarinya selaku pemain profesional.

"Saya telah membuat keputusan untuk ke Terengganu selepas kurang beraksi bersama Felda United. Tidak mengira Liga Super atau Liga Perdana, masa bermain sangat penting," kata Ridzuan.

Advertisement

Must Watch Video