Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Aulas berang dengan keputusan 'gila' beri Barca penalti

luis-suarez.jpg
Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, berkata keputusan "gila" memberikan sepakan penalti menjadi punca pasukannya tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas ditewaskan 1-5 oleh Barcelona di Camp Nou, awal pagi tadi.

Pasukan Ligue 1 itu mengikat Barca tanpa jaringan dalam perlawanan pertama di laman sendiri, namun Lionel Messi memaparkan aksi luar biasa dengan cetusan dua gol dan dua bantuan jaringan dalam aksi timbal balik itu.

Messi membuka jaringan menerusi sepakan penalti selepas Jason Denayer didapati menjatuhkan Luis Suarez.

Keputusan itu diputuskan pengadil perlawanan, Szymon Marciniak, dengan sistem video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun, sesetengah ulang tayang mendapati Suarez sengaja terlibat dengan sentuhan itu selepas mengait kaki pertahanan Lyon berkenaan sebelum bertindak merebahkan badan dalam kawasan penalti.

Selepas Philippe Coutinho menjaringkan gol kedua Barca, Lucas Tousart kembali menghidupkan harapan Lyon, namun Messi mencetuskan huru-hara di gawang penjaga gol gantian Lyon, Mathieu Gorgelin -- yang menggantikan Anthony Lopes ekoran kecederaan kepala -- dalam babak kedua.

Aulas lantang mengkritik keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti awal buat Barca itu yang dianggap sebagai pendorong kepada kekalahan pasukannya.

"Ia amat sukar apabila kehilangan penjaga gol utama, ia amat sukar apabila terpaksa berdepan dengan keputusan sepakan penalti yang gila," katanya.

"Seingat saya, bekas presiden UEFA, Michel Platini, pernah menentang penggunaan VAR.

"Lyon bukanlah pasukan terbaik, namun keputusan ini tidak mencerminkan perlawanan sebenar.

"Anda tahu saya bukanlah pakar bola sepak, saya hanyalah presiden sebuah kelab wilayah.

"Namun, terdapat dua keputusan yang amat sukar untuk kami terima.

"Mungkin jika Messi berubah ke pasukan kami, keputusan hari ini akan menjadi berbeza.

"Kami akan memperkuatkan pasukan ini dalam musim panas depan dan akan mencuba untuk kembali menjadi pesaing dalam Liga Juara-Juara," katanya lagi.

Suarez juga meluahkan keraguannya terhadap insiden sepakan penalti itu dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya berasakan saya terpijak kakinya secara tidak sengaja dan ia mengakibatkan saya hilang imbangan.

"Itu adalah tugas pengadil. Dia boleh meniup wisel atau tidak.

"Kami beraksi hebat dalam babak pertama. Kami sedar pihak lawan akan memberikan tekanan dalam babak kedua.

"Selepas mereka menjaringkan gol, terdapat tempoh antara lima hingga 10 minit di mana mereka beraksi dengan amat baik.

"Jadi, amat penting untuk kami mematikan perlawanan dengan keputusan 3-1 untuk berasa lebih selesa," katanya.

Barca mara ke suku akhir buat musim ke-12 berturut-turut dan Suarez tidak kisah dia masih gagal tersenarai dalam barisan penjaring.

Pemain kebangsaan Uruguay itu masih belum menghasilkan sebarang gol dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

"Saya amat teruja selepas kami melayakkan diri.

"Pasukan ini sudah meningkatkan keyakinan untuk menghadapi pusingan seterusnya.

"Benar, setiap penyerang dilahirkan untuk menjaringkan gol, namun jaringan itu pasti akan tiba," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video