Skip to main content

Bola Sepak

Aubameyang sihat, kembali berlatih

aubameyang.jpg
Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, memaklumkan bahawa dirinya dalam keadaan baik dan dia sihat sepenuhnya selepas menjalani ujian di London.

Kapten Gabon itu kembali daripada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) atas alasan perubatan tanpa beraksi sekali pun kerana dikesan mengalami masalah di bahagian jantung dalam pemeriksaan kesihatan kejohanan berkenaan. 

Aubameyang turut diuji positif COVID-19 pada 6 Januari lalu sebaik tiba berpasukan ketika di Yaounde.

Semalam, pemain berusia 32 tahun itu menyatakan bahawa dia sudah kembali berlatih selepas dibenarkan. 

Dia menyiarkan di Instagram: "Saya kembali ke London untuk melakukan beberapa pemeriksaan tambahan dan saya sangat gembira untuk mengatakan bahawa jantung saya benar-benar baik dan saya sihat sepenuhnya!!

"Sangat menghargai segala mesej yang disampaikan sejak beberapa hari lalu dan saya sudah kembali berlatih."





Minggu ini, Aubameyang telah dikaitkan dengan perpindahan pinjaman ke kelab Saudi, Al Nassr.

Bekas pemain Borussia Dortmund itu tidak pernah diturunkan oleh The Gunners sejak dilucutkan jawatan ketua pasukan kerana melanggar disiplin bulan lalu.

Arteta berkata dalam sidang akhbar semalam: "Dia berada di London dan menjalani beberapa peperiksaan berikutan kami tidak mendapat sebarang penjelasan tepat daripada Gabon mengenai punca kepulangannya. 

"Jadi adalah menjadi kewajipan kami untuk memastikan dia selamat dan dalam keadaan baik. Setakat ini daripada segi sejarah kami dengan pemain, ia tidak pernah menjadi isu."

Advertisement

Must Watch Video